NASIB Datuk Misbun Sidek dan barisan kejurulatihan badminton remaja negara, bagai dihujung tanduk dan nasib mereka bakal ditentukan minggu hadapan.
Presiden Perrsatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, selama ini badan induk badminton itu memberi sokongan penuh kepada pengarah teknikal perseorangan remaja, Misbun namun mereka (pemain remaja) ketinggalan di belakang negara lain dalam kejohanan utama.
“Kita akan tubuh jawatankuasa khas diketuai Timbalan Presiden BAM Datuk V.Subramaniam dan Setiausaha Agung Datuk Kenny Goh menilai prestasi hambar skuad remaja negara, terutamanya keputusan terkini di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia,” kata Norza.
Sementara itu, Subramaniam berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukan untuk mencari salah siapa, sebaliknya mencari penyelesaian bagi memperbaiki situasi badminton negara di peringkat remaja ketika ini.
Selepas prestasi hambar tanpa kejuaraan di Kejohanana Remaja Dunia di Sepanyol, Oktober tahun lalu, kini skuad remaja pulang tanpa gelaran di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta.
“Kami mahu bertemu Misbun dan mendapatkan pandangan beliau mengenai apa yang berlaku. Pada masa ini keputusannya belum ada kata putus,” kata Subramaniam.
Menurutnya, setiap apa yang berlaku dalam skuad remaja perlu diteliti,: “Kita lihat apa kekurangan dan apa yang boleh dilakukan. Kami perlu duduk bersama Misbun untuk mengkaji keadaan dan mencari apa yang boleh diperbaiki.”
Sementara itu, Kenny berkata, peningkatan segera diperlukan dalam barisan remaja negara.
“Kami juga tidak tahu sama ada jurulatih akan dipecat… Kami tidak mahu menganggap apa-apa, lebih-lebih lagi pasukan masih di Yogyakarta, kami mahu mengkaji segala-galanya dan mengemukakan cadangan yang betul,” katanya.