Oleh: MOHD HILMIE HUSSIN & IZZATI RAHMAN

SELEPAS kerajaan memutuskan untuk tidak menganjurkan Sukan Komanwel 2026, bagi menggantikan Victoria, Australia, nasib penganjuran Sukan SEA 2027 pula berada di hujung tanduk selepas kerajaan menyatakan sedang dalam perbincangan awal beberapa pemegang taruh.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya (Kementerian Belia dan Sukan – KBS) diarahkan kabinet untuk mendapatkan lebih banyak informasi serta kajian impak jika Malaysia menganjurkan temasya sukan serantau itu.

“Kabinet meminta KBS mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penganjuran Sukan SEA 2027 dan kita juga sudah mengadakan satu mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara.

“Saya juga akan berjumpa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memastikan kita memulakan perbincangan bagi melihat kajian impak kepada penganjuran. Perkara itu sedang berjalan dan saya tak mahu komen lebih lanjut,” kata Hannah kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan ‘Play Ture Day’ dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS, di Arena Axiata.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dua tahun lalu, MOM mengumumkan yang Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-34 Sukan SEA pada 2027 dalam satu mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Hanoi, Vietnam.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilaporkan berkata, SEAGF sudah menghubungi MOM bagi mengemukakan tawaran kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Sea 2027 susulan pengunduran Brunei.

“Kita tunggu KBS buat kajian dulu. Kalau saya kata kita mengalu-alukan, nanti jadi seperti kita sudah mengesahkannya (penganjuran Sukan SEA 2027). Sekarang ini untuk jemaah menteri… semua kertas kerja yang kita bawa, Kementerian Kewangan nak pastikan kita betul-betul membuat kajian terhadap impaknya.

“Kita tak nak bila bentang, kita nak anjur dan selepas dua tiga tahun akan datang, kita kata duit tak cukup dan meminta tambahan (dana). Perkara sebegitu tidak seharusnya ada.

Malaysia menerima tawaran sebagai tuan rumah Sukan Sea 2027, pada 2022.

“Perdana Menteri mahu setiap kementerian itu betul-betul bertanggungjawab mengenai bajet yang ada dan kabinet sudah meminta KBS supaya memastikan yang kita memaklumkan kepada penganjur ataupun persatuan sukan supaya sebelum mereka membida apa-apa (kejohanan atau temasya) untuk pastikan dapat kelulusan KBS dulu,” katanya.

Justeru, beliau menganggap sebarang bidaan tanpa mendapatkan kelulusan kerajaan, boleh menjejaskan imej negara: “Walaupun mereka kata tidak perlu duit kerajaan.

KL 2017 menyaksikan negara menjadi tuan rumah temasya sukan antarabangsa terakhir.

“Saya tak tahu lagi (kata putus) kerana kita sedang adakan perbincangan awal dan saya akan kemaskini semula kepada kabinet selepas berjumpa dengan pemegang taruh termasuk badan korporat juga,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 2017 dengan pada ketika itu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Untuk rekod, pada Mac lalu, KBS mengumumkan kerajaan tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026, selepas meneliti aspek penganjuran dan implikasinya.