CUKUP atau tidak, skuad hoki wanita negara tetap sudah meraih pengalaman untuk menghadapi saingan kelayakan Olimpik Paris 2024.
Hakikat itu perlu diakui setiap pemain dan ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mahu pemain menaikkan prestasi, ke satu tahap lebih tinggi dan menghargai kejayaan mereka berada di pusingan kelayakan.
Biarpun diundi dalam kumpulan yang mencabar, Nasihin menekankan kepada anak didiknya supaya nekad menampilkan aksi terbaik pada kempen kelayakan Olimpik di Valencia, 13 hingga 21 Januari tahun hadapan.
“Kekuatan dalam setiap kumpulan, selepas undian dilihat agak seimbang dan pasukan mempunyai kekuatan masing-masing.
“Ini adalah peluang terbaik untuk pasukan mengukur kemampuan dan menguji kekuatan sebenar pasukan dan saya mahu mereka meneruskan persembahan terbaik di Sukan Asia Hangzhou dan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di India, baru-baru ini,” kata Nasihin.
Menurutnya, pasukan negara akan ke Valencia tanpa tekanan memuncak kerana tidak memegang status pilihan, selain menampilkan kejutan di ACT dengan mengikat Korea Selatan.
“Kita tidak boleh cakap yang pemain wanita tak berpengalaman. Mereka sudah bermain di Sukan Asia dan ACT sebelum ini. Jadi saya rasa tiada alasan lagi dah sekarang, kita nak pemain pula menunjukkan tanggungjawab yang mereka boleh berbuat sesuatu untuk pasukan.
“Kita cuba ikat mereka (lawan) dan saya rasa kita nak bertindak sebagai pengacau jugalah dekat sana. Kita tengoklah apa peluang kita boleh dapat untuk dapatkan mata, kita akan ambil sebab kita tak akan menolak setiap peluang dan saya rasa kita telah bersedia,” katanya.
Skuad bimbingan Nasihin akan beraksi dalam kumpulan B di Valencia, Sepanyol, bersama Great Britain (GB), Sepanyol dan Canada sementara kumpulan A pula terdiri daripada Belgium, Korea Selatan, Ireland dan Ukraine.
Mengikut ranking, GB di kedudukan paling tinggi dalam kumpulan B iaitu ketujuh dunia, diikuti Sepanyol (8), Kanada (16) dan Malaysia (18).
Manakala kumpulan B pula, Belgium di ranking keempat dunia, diikuti Korea Selatan (12), Ireland (13) danUkraine (28).
Satu lagi pusingan kelayakan wanita berlangsung di Ranchi, India membabitkan Jerman, Jepun, Chile dan Republik Czech dalam kumpulan A, manakala India, New Zealand, Amerika Syarikat (AS) dan Itali dalam kumpulan B.
Tiga pasukan terbaik di setiap venue akan mendapat tiket ke Paris 2024.