KAPTEN pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Nasrullah Haniff mahu rakan sepasukannya berjaga-jaga dengan cabaran yang akan diberikan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Jumaat.
Menurutnya, pasukannya sedang giat menjalankan persiapan rapi menjelang pertemuan menentang Sang Badak itu dan mengakui mereka berada dalam landasan terbaik lebih-lebih lagi selepas berjaya mendapatkan kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini.
Meskipun mengakui pasukannya berada dalam momentum terbaik selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC tempoh hari, dia mahu rakan-rakannya tetap fokus dan tidak mengambil mudah tentangan yang akan diberikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.
“Kita akan berwaspada dengan pasukan Sabah, dan sudah pasti apabila beraksi di laman sendiri mereka akan memburu kemenangan.”
“Namun mengikut prestasi kami ketika ini, kami yakin kita akan mendapat mata di sana nanti,” jelasnya.
Tambahnya, beliau tidak melihat pertemuan menentang Sabah sebagai satu tekanan sebaliknya semakin bersemangat untuk mencipta lebih banyak keputusan positif untuk pasukan selepas ini.
“Kemenangan ke atas Sri Pahang sudah tentu menaikkan semangat setiap pemain dan jika kita mampu memberikan yang sama seperti perlawanan lepas, tekanan itu akan berkurang dan kita akan bermain dengan baik,” tambahnya.
NSFC kini menghuni tangga ke-13 dalam carta saingan Liga Super selepas mencatatkan tiga kekalahan dan satu kemenangan dalam empat perlawanan.