PEMAIN boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan berkongsi bahawa dirinya sempat mengambil peluang untuk memanfaatkan Ramadhan lalu bagi menguatkan mental dan beberapa aspek penting yang lain.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, selain daripada aspek mental, tahap kecergasannya juga menjadi fokus utama dalam membantu meningkatkan prestasi dirinya supaya berada pada tahap terbaik.

“Dalam bulan puasa, saya berusaha untuk meningkatkan kecergasan dan kekuatan fizikal saya agar dapat bersaing pada tahap yang lebih tinggi. Namun, tidak hanya itu, saya juga memanfaatkan bulan puasa sebagai waktu yang baik untuk memperkuat kekuatan mental saya.

Natasha percaya bulan Ramadhan adalah waktu terbaik untuk dirinya menguatkan mental serta fizikal.

“Saya percaya bahawa bulan puasa adalah cara terbaik untuk meningkatkan kekuatan mental. Menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari memerlukan ketahanan yang tinggi, yang saya percaya dapat membantu saya menghadapi tekanan dalam perlawanan,” ujarnya.

Natasha yang sedang giat mempersiapkan dirinya supaya menjadi lebih cergas dan cemerlang adalah bagi membuktikan bahawa dia telah bersedia untuk menempuh cabaran di Kejohanan Dunia akan datang.

Dirinya turut berkongsi sasaran serta harapan tinggi, iaitu mahu mengekalkan gelaran juara dunia buat kali kedua berturut-turut dalam kejuaraan berprestij itu.

Natasha optimis untuk mengejar gelaran juara dalam Kejohanan Dunia akan datang.

Meskipun dia sedar akan cabaran besar yang bakal dilalui, namun Natasha tetap optimis untuk mendapatkan keinginannya sekali gus menolak segala perkara yang mustahil daripada dirinya.

“Menjadi juara dunia kali kedua di World Championship seterusnya adakah impian saya. Jadi, tahun ini saya akan meningkatkan lagi intensiti latihan supaya saya dapat mempertahankan gelaran tersebut,” kata Natasha.

Untuk rekod, Natasha telah berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama 12 tahun selepas membawa pulang pingat emas ke Malaysia, pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada Oktober lepas.