ATLET tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan mendedahkan bahawa Datuk Shalin Zulkifli, ratu boling negara adalah seorang yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan pendorong untuk dia terus mengejar kejayaan.

Natasha berjaya meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan 2023 dan teruja untuk berkongsi bahawa Shalin merupakan idolanya.

Walau bagaimanapun, kejayaannya dalam mencapai gelaran sulung Olahragawati Kebangsaan pada usia 26 tahun tetap didedikasikan kepada keluarga tercinta dan rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu mendukung cita-citanya.

“Shalin merupakan idola saya sejak dahulu dan dia sering memaklumkan kepada saya untuk mencari pelbagai kejayaan dan sentiasa merendah diri meskipun kita berada di puncak.

Natasha terima gelaran Olahragawati Kebangsaan 2023.

“Sebelum ini juga saya ada minta restu kepada dia dan minta didoakan agar saya boleh ikut jejak langkahnya. Dia juga sentiasa bagi semangat supaya saya terus berusaha mencapai apa yang saya mahu.

“Pesanan yang sering saya ingat adalah dia mengingatkan supaya saya sentiasa merendah diri walaupun saya sudah berjaya terbang tinggi pada suatu ketika nanti. Kerana pada akhirnya, semua hanyalah manusia biasa,” ujar Natasha ketika ditemui di MSN pada Khamis.

Natasha dinobat sebagai pemenang Olahragawati Kebangsaan 2023 selepas berjaya menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober lalu dan itu merangkap kemenangan pertamanya.

Untuk rekod, kali terakhir atlet tenpin boling wanita merangkul gelaran Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Shalin sendiri pada tahun 2002, iaitu sudah genap 22 tahun.