PEMAIN boling kebangsaan, Natasha Roslan memenangi pingat emas individu pertamanya di Kejohanan Dunia selepas dia dan rakan sepasukan, Sin Li Jane menamatkan kejayaan 1-2 buat Malaysia dalam acara individu di Salmiya, Kuwait pada Isnin.

Natasha menewaskan Li Jane 259-194, 162-238, 185-165 jatuhan pin dalam aksi final sekali gus menjadi pemenang dari Malaysia pertama sejak Jacqueline Sijore kali terakhir melakukannya di Hong Kong pada 2011 dan mengikut jejak langkah Esther Cheah pada 2005 di Denmark.

Kedua-dua jaguh boling negara itu memastikan final antara Malaysia selepas bangkit menewaskan lawan masing-masing dari Korea Selatan di peringkat separuh akhir.

Natasha bangkit dari ketinggalan untuk mengenepikan cabaran Son Hye Rin 143-189, 227-173, 214-177 manakala Li Jane diberikan saingan sengit sebelum menang ke atas Hong Hae Ni 202-203, 226-192, 269-220.

Kejayaan ini juga adalah pingat emas kedua buat Natasha di kejohanan dunia selepas menjuarai kategori berpasukan bersama Li Jane, Syaidatul Afifah dan Datuk Shalin Zulkifli di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2017.

Sementara itu dalam divisyen lelaki, dua pemain negara, Rafiq Ismail dan Timmy Tan tersingkir di peringkat kumpulan dan tidak dapat meneruskan saingan.