PEMAIN tengah berpengalaman Johor Darul Ta’zim, Natxo Insa berkongsi sebab mengapa para pemain Harimau Selatan sentiasa bermotivasi untuk meraih kemenangan meskipun telah berjaya meriah kesemua trofi domestik yang dipertandingkan sejak penubuhan kelab pada 2013.
Insa menjelaskan ini adalah kerana pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa mempunyai cara untuk menaikkan semangat para pemain agar berjaya mengatasi kejayaan musim lalu dan perkara ini menjadikan pemain mempunyai tujuan untuk terus maju ke hadapan.
Pemain kacukan Malaysia-Sepanyol itu yang ditemui FLASH SUKAN sejurus perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura turut berbangga berada di dalam skuad Harimau Selatan yang semakin bertambah baik dari hari ke hari.
“Kami mempunyai pemilik yang sangat tegas dan dia sentiasa mempunyai cara untuk memotivasikan kami walaupun kami telah memenangi segala-galanya di peringkat domestik.
“Dia sentiasa mendorong kami untuk menjadi lebih baik berbanding musim lalu supaya kami sentiasa mempunyai sebab untuk maju kehadapan mencipta lebih banyak kejayaan buat kelab dan diri kami sendiri.
“Kami bekerja keras dan musim ini kami bekerja lebih keras berbanding tahun-tahun yang lalu dan kami mahu sentiasa menambah baik pasukan dan ianya dapat dilihat di dalam padang di mana kami mempunyai banyak pilihan pemain bagi menepati harapan penyokong yang tinggi,” katanya.
Natxo yang mengetuai Harimau Selatan ketika menewaskan Lion City Sailors di Stadium Bishan mengakui ianya satu perlawanan yang sukar namun baik buat kedua-dua pasukan yang masih dalam kempen pramusim sebelum menghadapi musim baharu liga.
“Ianya perlawanan yang sukar kerana Lion City Sailors adalah pasukan lawan yang kuat namun ianya baik untuk kedua-dua pasukan yang kini dalam kempen pramusim sebagai persiapan menghadapi musim baharu liga.
“Setiap tahun pasukan ini menjadi semakin baik dan musim ini kami bertambah baik dengan kemasukan pemain baharu. Setiap latihan juga semakin sukar tetapi kesannya dapat dilihat dalam perlawanan seperti ini yang mana kami memperolehi kemenangan,” jelasnya.
Aksi tenang Natxo bersama Afiq Fazail dan Nazmi Faiz mengawal bahagian tengah JDT pada babak pertama berjaya menyumbang kepada kemenangan 2-1 buat skuad kendalian Hector Bidoglio sebelum bertemu lawan yang sama pada 8 April di Stadium Sultan Ibrahim.