PEMAIN tengah Harimau Malaya, Natxo Insa mengakui kecewa dengan kekalahan tipis 1-0 di tangan Bahrain hingga mengakibatkan perjalanan di pentas Piala Asia 2023 di Qatar berakhir.
Bagaimanapun, pemain paling tua untuk pasukan Malaysia itu tidak mahu rakan sepasukan terus ‘down’, sebaliknya memberi tumpuan terhadap aksi terakhir bertemu Korea Selatan.
“Kami harus fikir untuk perlawanan seterusnya dan keputusan tidak berpihak kepada kami. Sekarang, kita sedih.
“Perasaan itu benar-benar teruk dan saya fikir kami telah berjuang sehingga ke minit terakhir dan cuba mengambil kesempatan.
“Kami mungkin mempunyai tiga, empat kali peluang untuk untuk jaringkan gol. Tetapi ini adalah bola sepak, kita bolos pada saat akhir permainan.
“Sekarang, inilah masa untuk melakukan pemulihan, menenangkan minda.
“Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting dan kami mesti menghadapi dengan profesional dan memberikan segala-galanya sekali lagi.
“Kami tahu perkara ini berlaku dalam bola sepak. Ia akan berlaku sekarang, pada masa hadapan, akan berlaku lagi. Kami adalah manusia, kami tahu kami mewakili negara dan kami mahu fokus ke hadapan,” katanya yang masuk pada babak kedua menggantikan Syamer Kutty Abba.
Menurut Natxo, pertandingan Asia itu memberikan satu pengalaman yang baik untuk para pemain Harimau Malaya.
Selepas ini Malaysia yang berada di tangga ke-130 dunia akan melengkapkan jadual dengan berdepan gergasi Asia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis depan manakala Bahrain menentang Jordan.