SELEPAS melalui lima perlawanan pramusim di Iskandar Puteri dan Singapura, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia untuk menghadapi kempen pramusim sebenar dan kali ini memilih Sepanyol sebagai kem latihan pusat menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25.
Skuad kendalian Hector Bidoglio memilih Melia Villaitana Football Center di Alicante dan akan diuji tujuh pasukan dalam perlawanan persahabatan sepanjang tempoh 14 hari bermula dari 14 hingga 30 April 2024.
Perkara ini semestinya disambut dengan hati terbuka oleh pemain warisan Malaysia-Sepanyol, Natxo Insa yang nyata gembira dapat kembali ke negara kelahirannya untuk menjalani kem latihan bersama-sama rakan sepasukannya.
Insa yang ditemui FLASH SUKAN sebelum ini, mengakui teruja dan tidak sabar untuk kembali ke Sepanyol tetapi padanya apa yang penting adalah memberikan fokus terhadap persediaan pramusim yang disediakan barisan kejurulatihan.
“Sudah tentu untuk kembali ke negara kelahiran saya ianya sesuatu yang istimewa. Saya tidak sabar dan teruja untuk berjumpa dengan orang di sana dan bermain bersama JDT di Sepanyol pastinya berikan saya satu perasaan yang menakjubkan.
“Tetapi apa yang penting adalah kami perlu fokus kepada persiapan pramusim dengan tujuh perlawanan sepanjang 14 hari bukanlah perkara yang mudah tetapi ini penting buat kami untuk sentiasa menambah baik pasukan menjelang musim baharu liga,” katanya.
Pusat Latihan Melia Villaitana adalah satu fasiliti canggih dan lengkap yang akan memberikan suasana latihan ala resort dikelilingi lapangan golf bertaraf antarabangsa serta mempunyai padang bola sepak yang cukup sempurna sesuai dengan kehendak permainan JDT.
Terletak 20 kilometer dari Alicante, pusat latihan dengan latar bangunan dari zaman kegemilangan Andalusia itu pernah menjadi kem latihan untuk pasukan kebangsaan Russia, skuad Liga Perdana Inggeris, Southampton FC dan Middlesbrough FC serta kelab Jerman, Schalke 04.