PEMAIN pertahanan Sabah FC, Nazirul Naim Che Hashim memuji aksi yang dipamerkan pasukan UiTM FC kerana berjaya menyaingi perlawanan bertemu Sabah FC pada aksi pertama Piala Malaysia 2022 Rabu lalu.
Jika diberi mandat memilih seorang pemain paling berbahaya, Nazirul mengakui penyerang import UiTM FC, George Tetteh Attram memiliki naluri sebagai ‘sole striker‘ berbisa.
“Bagi saya, mereka bermain dengan penuh disiplin. Mereka berjaya menyukarkan barisan pertahanan kita dan bahagian serangan juga sukar untuk menembusi bahagian pertahanan mereka. Saya rasa perlawanan seimbang.
“Saya rasa yang betul-betul menyusahkan kita sekarang ini, pemain import George Tetteh Attram kerana mereka bermain secara counter attack dengan seorang target man di hadapan, jadi ia memang memberi masalah kepada kita,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
90+1' GOL | George Attram merapatkan kedudukan untuk UiTM FC pada lewat perlawanan.@uitmfclions 1-2 @SabahFCofficial #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/dQWYqMEeTB
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 26, 2022
Sedar memiliki kelebihan dua gol ketika beraksi di laman UiTM, Nazirul tetap menasihati rakan sepasukannya agar berhati-hati kerana berlandaskan format kalah mati ini sebarang kejutan sukar diramal.
“Alhamdulilah kita dapat keputusan yang positif. Kita ada dua gol, jadi untuk Piala Malaysia kali ini format sudah lain, jadi ada timbal balik pun tidak boleh menjamin apa-apa sebab Piala Malaysia ini kita tahu banyak kejutan yang boleh berlaku.
“Kita harap semua pemain berikan sepenuh fokus dalam perlawanan kedua menentang UiTM sebab kita tahu UiTM bukan satu pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Walaupun kita ada kelebihan dua gol, namun apa-apa boleh berlaku,” ujarnya.
Nazirul yang bebas daripada sebarang kecederaan turut mengimpikan pasukan Sabah FC untuk mara setidak-tidaknya ke perlawanan akhir meskipun berdepan lawan sukar bertemu Johor Darul Ta’zim di peringkat separuh akhir.
“Bagi saya Piala Malaysia ini kita tahu, piala yang tertua jadi kita sasarkan boleh pergi jauh, kalau ada rezeki sampai ke final untuk tahun ini buat Sabah FC,” jelasnya.
Mengulas sekiranya perlawanan bakal berlanjutan ke masa tambahan, pemain kelahiran Perak itu yakin rakan sepasukan telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya rasa kita sebagai pemain memang sudah bersedia untuk segala perkara di luar jangkaan dan kita tidak boleh ambil mudah.
“Saya harap pemain akan berikan komitmen dan beraksi lebih dari seratus peratus untuk dapatkan keputusan yang positif,” kongsinya.
Tidak dilupakan juga kepada peminat The Rhinos, Nazirul Naim turut menyeru agar penyokong hadir membanjiri stadium bagi menyuntik semangat kepada pemain agar beraksi lebih dari seratus peratus.
“Saya harap untuk perlawanan di Sabah ini, penyokong dapat memenuhkan stadium untuk memberikan semangat kepada pemain dan terus menyokong sehingga tamat Piala Malaysia,” jelas Nazirul.