PENGADIL Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin telah dipilih menyertai kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Nazmi yang mula menjadi pengadil sejak 2010 adalah pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang mengunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika perlawanan antara Buriram United dan Zhejiang FC pada September 2023.

Dia bersama dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid juga telah mengadili enam perlawanan ACL yang mengunakan VAR selain Nazmi turut dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi sepanjang 2023.

Sejarah tercipta buat mereka di Piala Asia 2023 selepas Nazmi bersama dua pembantunya telah dipilih untuk mengadili perlawanan peringkat kumpulan antara Iraq dan Vietnam serta perlawanan pusingan 16 terbaik antara Uzbekistan dan Thailand serta dua kali dipilih sebagai pengadil keempat.

Prestasi cemerlang Nazmi dan dua pembantunya telah mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC, yang membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ dengan kursus yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari 2024 di Qatar.

Nazmi juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.

FAM akan terus memberi segala bantuan dan sokongan dari aspek perancangan latihan serta bantuan kepakaran ilmu pengadil kepada trio negara ini agar misi meletakan Nazmi sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia di Piala Dunia akan tercapai.