PENGADIL elite Fifa dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasarudin membuktikan kualiti yang ada pada dirinya apabila dipilih menjadi pengadil asing kedua mengadili perlawanan di Liga 1 Indonesia musim 2024-25.

Pengelola Liga 1 Indonesia musim ini menggunakan khidmat seorang pengadil luar negara pada setiap bulan dengan setiap pengadil akan mengadili tiga hingga empat perlawanan bertujuan meningkatkan lagi mutu pengadilan di liga tertinggi negara itu.

Nazmi dipilih sebagai pengadil kedua selepas pengadil Jordan, Adham Makhadmeh yang selesai mengendalikan empat perlawanan sepanjang bulan Ogos dan kini pengadil Malaysia mengambil alih tugasan tersebut.

Pengadil asal Pulau Pinang itu mengendalikan perlawanan antara Malut FC dan Bali United FC pada 21 September di Stadium Sultan Agung, Bantul yang menyaksikan Bali United menang 4-1 untuk naik ke tangga ketiga liga.

Nazmi yang terkenal dengan sikap tegas di dalam padang tidak kekok mengendalikan aksi itu dan tidak teragak-agak melayangkan lima kad kuning dan satu kad merah kepada pemain import Malut FC dari Jepun.

Penghargaan yang diberikan oleh Liga 1 Indonesia ini mengukuhkan lagi peluang Nazmi untuk muncul pengadil pertama Malaysia mengendalikan perlawanan Piala Dunia pada 2026 dengan sebelum ini dia berpengalaman mengendalikan perlawanan di peringkat antarabangsa.

Nazmi sebelum ini pernah mengendalikan perlawanan Piala Asia, Kelayakan Piala Dunia Zon Asia, Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC serta mengadili pelbagai perlawanan akhir di peringkat domestik dan kini semakin menghampiri Piala Dunia.