PENGENDALI PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor mengakui dia bangga dengan karektor pemain-pemain senior dalam pasukan yang menunjukkan kualiti mereka dan berjaya membantu pemain muda untuk memberikan saingan kepada lawan yang lebih baik.
Nazrulerwan sedar jurang antara pasukannya dan Sabah namun dia masih optimis mereka mampu terus berikan saingan meskipun ketinggalan 0-4 menjelang aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia.
“Sejujurnya kami melihat pemain-pemain senior seperti Indra Putra, Amri Yahyah dan Latif Suhaimi sangat menakjubkan dengan memberikan permainan yang baik serta membuktikan pengalaman mereka bermain di tahap yang tertinggi.
“Kita akan cuba sedaya upaya pada perlawanan kedua dan kita tahu Sabah adalah pasukan yang baik dengan pemain berkualiti dan kami akan berikan yang terbaik pada perlawanan kedua nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu pemain import, PT Athletic, Aziz Aseriloka mengakui dia sangat gembira dapat beraksi dalam Piala Malaysia dan sedar masih banyak yang perlu dia lakukan untuk mencapai tahap terbaik dan teruja untuk perlawanan kedua.
“Ianya perlawanan yang baik tetapi sayang kami tewas dan ianya satu pengalaman yang cukup berharga buat saya dan akan lakukan lebih baik pada perlawanan seterusnya,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.
PT Athletic cuba memberi saingan kepada Sabah namun terpaksa akur tewas 0-4 dalam penampilan pertama mereka di Piala Malaysia.