HAJAT Negeri Sembilan FC untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi pembukaan Liga Super tidak kesampaian apabila diikat Sri Pahang FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad Jang yang baharu sahaja melengkapkan pasukan dengan kehadiran beberapa pemain import dilihat berjaya mengawal permainan pada babak pertama manakala Sri Pahang bangkit pada babak yang kedua.

Bekas penyerang sensasi Penang FC, Casagrande yang baharu di bawa ke Paroi berjaya menjaringkan gol pertama buat NSFC pada minit ke-21 hasil ledakan cantik selepas gandingan yang menarik daripada dua lagi pemain import, Safuwan Baharudin dan Herold Goulon.

Satu insiden yang tidak diingini berlaku apabila penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan terpaksa diusung keluar dan dibawa ke hospital selepas mengalami kecederaan di kepala akibat pelanggaran dengan Hasbullah Abu Bakar pada penghujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang hanya memerlukan tiga minit dan dengan pantas menyamakan kedudukan menerusi Malik Mat Ariff yang menanduk masuk hantaran lintang pemain kebangsaan, David Rowley.

Pengendali Negeri Sembilan, K. Devan mengeluarkan Casagrande yang mempunyai satu kad kuning dan ini menyebabkan barisan serangan mereka sedikit terkesan dengan tanpa sebarang percubaan berbahaya dapat dilakukan.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang menghiburkan di hadapan 6,730 orang penyokong yang hadir ke stadium yang mana akhirnya NSFC berjaya mengelakkan kekalahan di tempat sendiri manakala Sri Pahang terpaksa berpuas hati membawa satu mata pulang ke Kuantan.