NEGERI SEMBILAN FC berjaya mencalarkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur City FC dalam empat perlawanan Liga Super apabila mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Super yang dramatik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Perlawanan yang disambung pada minit ke-28 akibat aksi yang tertangguh akibat hujan lebat 11 Mac lalu menyaksikan Kuala Lumpur City FC berjaya menguasai permainan pada babak pertama dengan beberapa peluang yang terhidang.
Namun begitu, Sikh Izhan yang baru sahaja pulang dari tugasan skuad kebangsaan di Sukan Sea Kemboja diberikan kepercayaan oleh K. Devan untuk mengawal gawang Negeri Sembilan dan dia banyak menyelamatkan pintu gol dari dibolosi terutama pada akhir babak kedua.
LIGA SUPER 2023
FT: Negeri Sembilan FC 2-1 Kuala Lumpur City FC
⚽ Zaquan Adha 76', Safuwan Baharudin 87'
⚽ Zhafri Yahya 85'#LigaSuper2023#HobinJangHobin#SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/9tcsLNvCU6— Flash Sukan (@FlashSukan) May 14, 2023
Dua pemain senior, Zaquan Adha dan Safuwan Baharudin masing-masing menjaringkan satu gol untuk memberikan tiga mata penuh untuk skuad Jang yang dilihat sangat sukar ditewaskan di laman sendiri.
KL City pula dilihat sedikit bergelut dengan keadaan padang yang sedikit basah akibat hujan sebelum perlawanan dan berhadapan satu keputusan kontroversi daripada pengadil yang membatalkan gol penyamaan Romel Morales kerana dikesan ofsaid.
Kapten pasukan, Zaquan Adha meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-73 apabila menanduk masuk hantaran cantik Levy Madinda untuk gol pertamanya musim ini.
Zhafri Yahya yang baru kembali dari kecederaan berjaya menjaringkan gol penyamaan buat KL City lima minit sebelum tamat dan dilihat sudah cukup untuk membantu skuad Warga Kota membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Namun begitu, berselang tiga minit, pemain import Singapura, Safuwan Baharudin menggembirakan penyokong Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan.
Kemenangan ini meletakkan Negeri Sembilan FC kekal ditangga kesembilan liga dengan 13 mata manakala Kuala Lumpur City FC pula di tangga keenam dengan 15 mata selepas 10 perlawanan.