NEGERI Sembilan FC akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dalam aksi pada sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Ianya sekali gus menambah tekanan buat Sri Pahang FC yang masih tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan liga dan gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut.

Skuad kendalian Azzmi Aziz tampil dengan permainan yang lebih meyakinkan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya namun ketumpulan penyudah sekali lagi menjadi duri dalam daging buat skuad Jang.

Negeri Sembilan mencatat kemenangan pertama musim ini di Temerloh

Kedudukan berubah pada minit ke-24 apabila sepakan percuma Takumi Sasaki dari sebelah kiri gawang Tok Gajah dikuis masuk oleh R.Barathkumar untuk gol pertama Negeri Sembilan yang juga gol kedua musim ini.

Segalanya tidak menjadi buat Sri Pahang apabila Stefano Brundo gagal menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung babak pertama untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal memihak kepada Negeri Sembilan FC.

Bersambung babak kedua, penyerang yang mendapat tekanan hebat, Mika Junco hampir menggandakan kelebihan buat Negeri Sembilan tetapi rembatannya digagalkan palang gol dan Takumi Sasaki lambat untuk menyambar bola lantunan.

Kemasukan Mykola Ahapov gagal membantu serangan Sri Pahang pada babak kedua (kredit foto: Sri Pahang FC)

Fandi Ahmad melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Mykola Ahapov yang dilihat berjaya menggerakkan barisan serangan namun masih gagal memberikan gol penyamaan yang dicari-cari dihadapan 1,028 orang penyokong.

Ketika perlawanan memasuki tambahan masa, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dan Takumi Sasaki mudah menyempurnakan untuk kedudukan 2-0.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan dan Negeri Sembilan FC berjaya mendapat tiga mata penuh untuk mata pertama musim ini sekali gus mengurangkan tekanan dalam pasukan.