PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) mengesahkan mereka tidak akan menambah kuota pemain import pada jendela perpindahan kedua Julai nanti dan kekal dengan lima pemain import sedia ada bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Perkara ini disahkan menerusi satu siaran media yang dikeluarkan kelab selepas satu mesyuarat pengurusan telah diadakan bersama  pengerusi kelab, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. yang turut bersetuju untuk membawa naik pemain daripada skuad Piala MFL Negeri Sembilan untuk memberikan pendedahan kepada mereka.

Sebelum ini, jurulatih NSFC sering mengatakan kekurangan pemain import dalam skuad Jang menjadi antara punca kesukaran untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik dan menyaksikan Negeri Sembilan FC kini di tangga kesembilan dalam carta liga.

“Pihak pengurusan Negeri Sembilan FC sedia maklum berkenaan prestasi terkini pasukan Liga Super Malaysia 2023 yang kini menduduki tangga kesembilan.

“Sejak tahun 2021, pihak kelab telah memberikan kuasa penuh kepada Ketua Jurulatih untuk membuat segala keputusan berkenaan pemilihan pegawai teknikal dan pemain tanpa campur tangan mana-mana pihak. Pengagihan tanggungjawab yang sama juga telah membolehkan pasukan Negeri Sembilan FC menduduki tempat keempat liga pada musim lepas.

“Pihak kelab mengakui persediaan pasukan bagi tahun ini agak lewat akibat daripada kekangan kewangan yang dihadapi bagi musim 2023. Namun begitu, pihak kelab sedaya upaya berusaha memastikan agar skuad Liga Super dapat menampilkan 5 pemain import walaupun pada awalnya keputusan yang dibuat hanya 3 pemain import sahaja.

“Secara tambahan, pihak kelab juga telah mencapai persetujuan bersama Vinicius Leonel untuk menamatkan kontrak pemain lebih awal selepas menyertai pasukan pada awal musim setelah menerima laporan prestasi kurang memuaskan daripada Ketua Jurulatih.

“Oleh itu, satu mesyuarat pengurusan telah diadakan bersama YTM Tunku Pengerusi dan secara sebulat suara bersetuju untuk tidak membuat penambahan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Super Malaysia 2023. Ini adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baharu skuad Piala MFL (B-23) membuktikan kebolehan mereka.

“Penilaian semula kedudukan pasukan juga akan dilakukan oleh pihak kelab secara berkala selain daripada penambahbaikan pada masa hadapan akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kelab,” tulis kenyataan media itu.

Negeri Sembilan FC kini sedang dalam persiapan untuk menghadapi Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan kemenangan akan mengembalikan semula keyakinan penyokong kepada kelab selepas gagal mencapai kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini.