KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC K. Devan menjelaskan pasukannya memerlukan lebih banyak kualiti terutama di bahagian serangan jika ingin terus bersaing dan mencipta kemenangan dalam Liga Super.
Ini selepas skuad Jang sekali lagi tewas tipis kali ini kepada Kedah Darul Aman FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat dengan hanya menurunkan dua orang pemain import sahaja.
Devan turut mahu menggunakan jendela perpindahan kedua pada Julai untuk menambah baik skuad terutama dengan tambahan pemain import namun segalanya bergantung pada kemampuan pasukan.
Tamat masa penuh. Negeri Sembilan FC 1-2 Kedah Darul Aman FC#NSEKDA#NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/mwp5ZCTCNv
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) April 28, 2023
“Saya rasa pemain sudah berusaha dan beri apa yang boleh diberikan. Gol pertama kita tak bertahan baik dan begitu juga dengan gol kedua. Selain daripada itu perlawanan ini seimbang dan kita juga berpeluang jaringkan gol. Kelebihan pada pasukan Kedah kerana mereka mempunyai pemain yang lebih berkualiti dan kita boleh nampak apabila mereka buat pertukaran.
“Kita berusaha dengan pemain yang kita ada dan perlu menang dalam perlawanan selepas ini untuk dapatkan kembali keyakinan kepada pemain kerana kehilangan mata dalam dua perlawanan ini mungkin menjejaskan keyakinan pemain.
“Masalah utama kini adalah susah untuk dapatkan gol dan kurang kualiti di beberapa bahagian. Jika mahu terus bersaing kita perlu cari jalan dan meskipun kami bermain dengan hanya dua import tapi kami mampu bersaing dengan pasukan yang lengkap dengan pemain import,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Devan turut meluahkan bahawa pasukan ini perlu segera menang untuk memastikan para pemain dan dirinya tidak menerima tekanan daripada penyokong yang mungkin tidak memahami situasi yang berlaku dalam pasukan.
“Kita tidak ada sasaran untuk tahun ini dan hanya mahu berada pada kedudukan yang terbaik sahaja kerana kita adalah pasukan yang tidak melengkapkan kuota pemain import dan kita perlu harungi empat perlawanan lagi dengan pemain sedia ada sebelum jendela perpindahan kedua dibuka pada Julai.
“Jika kelab ada kemampuan, kita akan tambah pemain import untuk mengatasi masalah jaringan gol. Tekanan pada pemain dan jurulatih setiap kali kalah tetapi kita perlu tanya kenapa kita kalah. Kita perlu cari apa sebab kita tak boleh menang. Kita boleh saingi pasukan lain. Bukan mencari alasan tetapi ini adalah hakikat pasukan ini.
Kita perlu menjaringkan gol. Pemain berusaha sehingga minit terakhir namun semangat sahaja tidak mencukupi untuk mendapat tiga mata tetapi kita perlu ada kualiti terutama jika kita ingin mencabar kedudukan yang lebih baik dalam liga selepas ini,” tambahnya.
NSFC kini ditangga kesembilan dengan sembilan mata selepas sembilan perlawanan dan akan mengharungi satu lagi ujian besar apabila turun menentang Kuala Lumpur City FC pada 14 Mei 2023.