NEGERI Sembilan FC kembali dalam kancah Piala Belia 2024 selepas tidak menghantar pasukan musim lalu dan setakat ini beraksi cemerlang dengan menduduki tempat keempat selepas berakhir enam perlawanan peringkat kumpulan.
Untuk musim ini, skuad B-18 tahun itu diperkuatkan 30 pemain dengan 14 pemain adalah dari produk Sekolah Sukan Negeri Za’ba di Kuala Pilah dan 5 Pusat Latihan Daerah (PLD) dari seluruh Negeri Sembilan.
Tambah menarik, lima pemain berusia 17 tahun sekaligus memperlihatkan negeri ini tidak ketandusan bakat-bakat baharu dalam bola sepak yang kini dibentuk menjadi sebuah skuad yang mantap di bawah kendalian ketua jurulatih, Kamarudin Anuar.
Data-data ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus menerusi satu ciapan di laman sosial X peribadinya yang meyakinkan para penyokong tentang produk buatan Negeri Sembilan yang boleh dibanggakan.
“NSFC’s conveyor belt of talents, work still in progress, 100%,” ciap Faliq yang mendapat respons positif daripada para penyokong.
Selepas enam perlawanan, Negeri Sembilan hanya tewas sekali kepada juara bertahan, Selangor FC dan menang tiga kali ke atas Sabah, Kelantan Darul Naim dan Sri Pahang serta diikat Kuala Lumpur City dan Singa Muda Perlis.
Perkembangan ini adalah satu perkara yang positif bagi memastikan kelangsungan bakat-bakat baharu yang akan menjadi tunjang buat skuad utama Negeri Sembilan FC di Liga Super yang juga mempunyai peluang untuk mewakili skuad kebangsaan dari pelbagai peringkat kategori umur.
Skuad belia Negeri Sembilan ini akan beraksi menentang Kelantan FA dan Melaka FA pada 8 dan 23 Jun untuk melengkapkan pusingan pertama Kumpulan A yang menampilkan sembilan pasukan.