NEGERI Sembilan FC berdepan situasi buruk, iaitu masalah kecederaan yang lebih besar, sekiranya tidak mempunyai cukup pemain untuk melalui proses penggiliran.
Namun, pengendalinya, K Devan berkata, itulah situasi yang perlu dihadapi beliau dan pemain selepas pengurusan menetapkan untuk tidak membawa kemasukan baharu baik pemain tempatan mahupun import pada jendela perpindahan.
“Pengurusan buat keputusan tak ada pemain import (baharu) jadi saya beritahu pemain bahawa ini peluang buat mereka, guna pakai peluang ini untuk karier mereka musim hadapan, untuk mendapatkan kontrak yang baik dan saya rasa mereka sedar dan bagi 100 peratus (komitmen),” kata Devan, selepas tamat perlawanan ke-17 Liga Super, menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di Cheras.
Pada perlawanan itu, Skuad Rusa berjaya mengikat pasukan tuan rumah 1-1, selepas berjaya memperoleh jaringan penyamaan di lewat permainan, ketika perlawanan dilanjutkan ke masa kecederaan.
Devan tidak mempunyai banyak pilihan pemain dan hanya menurunkan dua pemain import, Herold Mark Goulon dan Levy Clement Madinda, selain ketiadaan penyerang asal.
Melihatkan kesebelasan Devan, Mahali Jasuli yang lebih selesa beraksi di posisi bek kanan dan juga sebagai pemain sayap, diletakkan sebagai penyerang.
“Itulah kualiti local player, bukan kita ada seorang striker yang betul-betul strikerlah… Mahali bukan striker, Selvan (Anbualagan) juga bukan, dia flanker, begitu juga dengan Hafiz Ramdan, bukan striker, lately dia bermain sebagai attacking midfielder tapi hari ni dia bermain sebagai striker, so mungkin ketajaman mereka di hadapan gol itu tak begitu baiklah,” kata Devan, yang berbangga pasukannya berjaya mengelak kekalahan.
Beliau menyifatkan keputusan 1-1 sebagai keputusan yang baik kerana berdepan KL City, sebuah pasukan yang dianggap lebih baik dan mempunyai pemain berkualiti berbanding Negeri Sembilan.
Menurutnya, sekurang-kurangnya enam peluang menjaringkan gol diperoleh anak didiknya namun tiada penyudah, namun beliau memuji semangat pasukan yang ada.
Katanya, kehadiran Goulon di pertahanan memang memberi impak untuk barisan pertahanan, “KL City tidak mempunyai banyak peluang terbuka, mungkin half chance ada.”
“Kita kehilangan Zaquan (Adha), Safuwan (Baharuddin), Saiful Ridzuwan patut jadi pilihan pertama, Shahrel Fikri, Zamri (Pin Ramli) bek sayap injured dan Izzuddin (Roslan) juga tak ada, kali terakhir dia beraksi ketika menentang JDT.
“Kita ada masalah kecederaan di kalangan pemain disebabkan kita tak bagi ruang untuk rotation.”
Selepas seri pada perlawawanan ke-17 itu, Negeri Sembilan menghuni tangga kesembilan dengan 20 mata, hasil empat kemenangan, lapan seri dan lima kekalahan.