PENYERANG import baharu Terengganu FC, Nelson Bonilla hampir pasti tidak akan melakukan penampilan pertama dalam perlawanan menentang Sabah FC malam esok.
Ini kerana pemain kelahiran El Salvador itu mengalami kecederaan otot ketika membantu pasukan kebangsaan negaranya minggu lalu.
Perkara ini telah disahkan oleh ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner.
“Penyerang baharu itu (Bonilla) berkemungkinan besar terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot ketika membantu pasukan negaranya baru-baru ini.
“Bagaimanapun kapten skuad El Salvador itu yang baharu disenaraikan pada jendela kedua perpindahan pemain tetap bersama kami ke Sabah, tapi sama ada dia beraksi ataupun tidak kita belum pasti kerana perlu dinilai tahap kecederaannya,” katanya memetik laporan media tempatan.
Tomislav turut menambah bahawa pertahanan tengah, Shahrul Nizam Ros Hasni juga akan diketepikan akibat kecederaan ketika sesi latihan.
“Shahrul Nizam pasti tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan paha ketika sesi latihan, tapi kita tidak runsing kerana beberapa pemain lain boleh menggantikan tempat dua pemain itu,” ujarnya.
Terengganu FC akan terbang ke Borneo untuk bertemu Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas esok.