KAYLIA Nemour menangis kegembiraan setelah muncul atlet Afrika pertama, memenangi pingat dalam sukan gimnastik Olimpik apabila meraih emas dalam aksi palang bertingkat di Paris.
Ironinya, kemenangan diraih gimnas remaja Algeria itu, mengejutkan nama besar dalam sukan gimnastik artistik, ketika meletakkan nama negaranya berada dalam senarai pemungut pingat di Sukan Olimpik 2024.
Atlet kelahiran Perancis berusia 17 tahun itu mempersembahkan rutin yang menakjubkan ketika memukau penonton di Arena Bercy semalam, sekali gus mengatasi Qiu Qiyuan dari China untuk pingat perak, Sunisa Lee dari Amerika Syarikat, gangsa.
Sementara juara bertahan acara palang bertingkat, Nina Derwael dari Belgium sekadar di kedudukan keempat.
Terdahulu, Nemour di tekan hebat, selepas Qiyuan mencatatkan mata 15.500 dengan rutin kemas, sebelum dia mengatasi gimnas China itu dengan mata 15.700.
Nemour menggunakan rutin yang biasanya digunakan gimnas kelaki dengan menampilkan manuver pelepasan dan tangkapan yang kompleks, menghiburkan penonton.
Sebaik melakukan pendaratan, Nemour menangis, kerana mengetahui dia mungkin telah melakukan persembahan yang cukup untuk memperoleh emas pertama buat negaranya dalam gimnastik dan pingat pertama Sukan Olimpik Paris.
“Saya cukup terkejut, ia adalah impian sepanjang hidup saya. Masih sukar mempercayai apa yang telah terjadi dan saya hilang kata-kata.
“Pada pusingan kelayakan, saya lakukan 15.600 mata dan apabila saya melihat dia (Qiyuan) memperoleh 15.500 mata, saya kata pada diri… saya perlu berjuang dan menampilkan prestasi terbaik seumur hidup saya,” ujar Nemour.
Nemour mula mewakili Algeria tahun lalu, selepas dilepaskan Persekutuan Gimnastik Perancis, namun tidak ramai menyokongnya di Bercy Arena.