SKUAD Harimau Malaya bakal mengadakan satu perlawanan ujian menentang Nepal sebagai persediaan sebelum terbang ke Muscat untuk bertemu Oman dalam perlawanan ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Perkara ini disahkan sendiri oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon pada hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Kelana Jaya yang menyaksikan 21 dari 33 pemain melaporkan diri.

Pan-gon turut menegaskan kem latihan kali ini lebih menumpukan tahap kecergasan pemain kerana ketiadaan perlawanan kompetitif akibat liga yang bermula pada Mei mungkin menjejaskan prestasi para pemain.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon

“Seramai 21 pemain melaporkan diri dengan dua pemain mempunyai masalah peribadi dan kami akan fokus kepada kecergasan pemain kerana perlu diakui kita ketinggalan dari segi kecergasan dan juga minit perlawanan.

“Kecergasan pemain menjadi isu utama setakat ini kerana liga hanya akan bermula pada Mei tetapi terima kasih kepada kelab yang melepaskan pemain untuk kami menjalani latihan sebelum bermain satu perlawanan ujian tertutup menentang Nepal pada 15 Mac,” katanya.

Pengendali asal Republik Korea itu juga mahu para penyokong memahami keadaan pasukan kebangsaan ketika ini dan bersama-sama memberikan sokongan tanpa mengira keputusan.

Para pemain menjalani latihan pada hari pertama kem latihan pusat

“Saya mahu para penyokong faham keadaan pasukan ketika ini namun kami akan cuba membanggakan anda dan kami perlukan sokongan dari semua tanpa mengira keputusan perlawanan. Kita perlu ketawa bersama dan menangis bersama-sama,” katanya.

Malaysia akan berhadapan Oman pada 21 Mac di Muscat sebelum bertemu semula di Bukit Jalil pada 26 Mac dengan enam mata bakal menjamin tempat automatik ke peringkat kumpulan Piala Asia 2027 dan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.