PEMINAT bola sepak Indonesia gempar selepas Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) Erick Thohir berkata pemain NEC Nijmegen Calvin Verdonk dan penyerang FC Dordrecht Jens Raven sedang dalam proses naturalisasi untuk menjadi pemain pasukan Indonesia.

Negara jiran itu kelihatan terus berusaha meningkatkan kekuatan dengan membawa masuk beberapa pemain warisan untuk memperkuatkan Merah Putih.

Selepas penjaga gol FC Dallas, Maarten Paes secara rasminya memiliki kewarganegaraan Indonesia setelah mengangkat Sumpah Warga Negara Indonesia pada Selasa lalu, seterusnya giliran Calvin Verdonk dan Jens Raven.

“Selepas tiba di Jakarta dari Doha, saya kembali fokus untuk memantapkan pasukan negara,” kata Erick Thohir dalam catatan di Instagram.

“Hari ini @maartenpaes secara rasmi menjadi warganegara Indonesia. Sementara itu @c.verdonk, pemain NEC Nijmegen dan Jens Raven, pemain FC Dordrecht, juga dalam proses naturalisasi,” tambah Erick.

Dalam video di Instagram, Erick Thohir bertemu Paes, Verdonk dan Raven serta keluarga mereka secara langsung.