KECEDERAAN buku lali Neymar yang akhirnya disahkan terseliuh cukup membimbangkan Brazil dan pemain itu sendiri, kerana khidmatnya sangat ditagih bagi menghadapi baki kempen Piala Dunia.

Kecederaan yang ditempa pada aksi menentang Serbia itu menyaksikan Neymar tidak dapat beraksi menentang Switzerland esok malah diragui untuk disenaraikan ketika cabaran terakhir kumpulan G, menentang Cameroon, 3 Disember depan.

Dalam usaha memulihkan kecederaan bintang Brazil itu, mereka beralih kepada teknologi NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan) Amerika Syarikat untuk memberikannya rawatan fisioterapi intensif.

Di media sosial, Neymar mendedahkan dia kini dirawat dengan menggunakan but mampat (compression boot), dan perkongsiannya itu, turut dikongsi ramai.

But itu menggunakan teknologi NASA yang berfungsi mempercepat penyembuhan, menggabungkan tiga teknik urutan berbeza dan mengaktifkan peredaran darah.

Ia juga merangsang sistem vena, mengurangkan bengkak, melegakan kesakitan, mengurangkan keletihan otot, menghilangkan asid laktik terkumpul, kekejangan dan memperbaiki tisu lembut serta penyembuhan tulang.

Rakan sepasukan, Richarlison turut membuat ciapan mengenai perkembangan terkini Neymar

Justeru, Neymar boleh beraksi pada Piala Dunia lagi dan kemungkinan itu akan berlaku pada peringkat kalah mati atau pertemuan terakhir kumpulan, jika Brazil bergelut mendapatkan keputusan baik menentang Switzerland.

Neymar meluahkan perasaannya di laman Instagram untuk berkongsi apa yang dirasainya mengenai kecederaan itu.

“Kebanggaan dan rasa cinta yang saya ketika memakai jersi ini tidak dapat dibayangkan. Jika Tuhan memberi saya peluang untuk memilih negara untuk dilahirkan, ia adalah BRAZIL.”

“Hari ini menjadi satu daripada saat paling sukar dalam karier saya… dan sekali lagi saya mengalami kecederaan pada Piala Dunia, ya ia meletihkan, ia menyakitkan tetapi saya pasti berpeluang untuk kembali kerana saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu negara saya, rakan sepasukan saya dan diri saya sendiri.”

Seperti dinyatakan di laman web mereka, siri generasi baharu NormaTec 2.0 direka untuk menyediakan pemulihan menyeluruh bagi atlet di semua peringkat.

Sistem siri 2.0 adalah 27 peratus lebih kecil, sambil mengekalkan prestasi yang menjadikan NormaTec sebagai sistem pemulihan yang dipercayai 97 peratus oleh pasukan profesional. – Marca