PENGARAH Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’ Donell menganggap Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) wajar diletakkan di bawah kendalian badan induk itu.

Jelasnya, FAM harus mengambil tanggungjawab membangunkan pemain memandangkan pemain yang dibangunkan rata-rata bakal membarisi skuad kebangsaan pelbagai dari pelbagai usia.

“Saya setuju dengan perkara ini kerana ketika ini program Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memiliki potensi cukup besar untuk skuad B-12, B-13, B-14, B-15, B-16 dan B-17.

“Jadi saya rasa tidak masuk akal apabila badan induk bola sepak negara tidak ada kawalan terhadap program pembangunan dan jika FAM perlu mengambil tanggungjawab atas prestasi pasukan, kami perlu ada tanggungjawab untuk pembangunan juga,” katanya ketika ditemui di Kongres Tahunan FAM ke-59 di Petaling Jaya pada Sabtu.

Perkara ini dibangkitkan selepas skuad Bawah B-17 kebangsaan tersingkir awal di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia B-17 selepas tewas dua perlawanan kepada Yemen dan Thailand dalam Kumpulan A.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro terpaksa melupakan impian ke suku akhir namun berjaya mengelak tempat terakhir kumpulan selepas meraih kemenangan ke atas Laos pada perlawanan terakhir.

 

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan pihak FAM sedang menunggu laporan penuh dari NFDP mengenai prestasi skuad B-17 dan segala keputusan mengenai masa depan skuad itu akan dinilai dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal.