PEMAIN skuasy lelaki utama negara, Ng Eain Yow melakar kejutan di Terbuka Jerman apabila menyingkir pilihan utama, Joel Makin dari Wales untuk menempah final pertamanya musim ini pada kejohanan berstatus Gangsa pertamanya musim ini.

Eain Yow yang diletakkan selaku pilihan keempat, akhirnya berjaya menewaskan Makin buat kali pertama selepas enam kali tewas sebelum ini.

Meskipun lawannya mendahului 4-1 pada set pertama, Eain Yow yang berada di ranking ke-22 dunia mengejar sebelum memenangi perlawanan 13-11.

Set kedua lebih mudah buat Eain Yow mencapai kemenangan 11-8 namun Makin yang juga pemain nombor 11 dunia, melakukan kebangkitan di set ketiga hinggakan pemain negara ketinggalan 1-7 sebelum tunduk 6-11.

Namun kebangkitan lawannya itu dicantas dengan Eain Yow merampas set keempat 11-8.

Ng Eain Yow mengatasi Joel Makin (Wales) buat kali pertama daripada tujuh pertemuan sekali gus membolehkannya mara ke final Terbuka Jerman. | FOTO PSA Tour

“Sepanjang perlawanan, saya membendung emosi dan tidak menunjukkan banyak pada wajah.

“Menentang pemain seperti Joel (Makin), biasanya anda tidak boleh menyerangnya dari depan dan hari ini saya bebas dan melakukannya,” kata Eain Yow kepada PSA Tour.

“Dia mungkin tidak berada pada tahap 100 peratus, tapi masih mampu mengheret perlawanan hingga ke 75 minit permainan. Saya bangga dengan corak permainan hari ini dan mahu kekal kuat dari segi mental, tetapi minggu ini belum berakhir.”

Kemenangan itu membolehkan Eain Yow ke final dan bakal berdepan pemain pilihan keenam dari Switzerland, Dimitri Seinmann yang mengejutkan pilihan ketiga Mesir, Mohamed ElSherbini straight set, 11-8, 11-4, 11-1.

Berdasarkan rekod pertemuan tunggal, Eian Yow pernah mengatasi pemain ranking ke-34 dunia terbabit di Kejohanan Dunia 2017.

Aksi final dijangka berlangsung kira-kira jam 10 malam ini.