JUARA skuasy Terbuka Jerman, Ng Eain Yow menganggap keputusan keputusan Malaysia memanfaatkan penggunaan jurulatih mental atau psikologi sebagai antara persiapan atlet ke Sukan Olimpik, sebagai langkah tepat dan terbukti berjaya.
Menurutnya, beraksi di peringkat tertinggi, setiap atlet termasuk dirinya gigih menjalani latihan dan penggunaan pakar mental dan psikologi, mampu mengubah keputusan dalam perlawanan yang diharungi.
Beliau memberi contoh bagaimana ratu skuasy negara, S Sivasangari menjuarai kejohanan Jelajah Dunia London Classics, April lalu yang dibantu jurulatih mental.
“Malah untuk diri saya sendiri ketika beraksi buruk dalam dua kejohanan (Tournament of Champions dan Windy City), namun selepas berkerja rapat dalam soal mental, keputusan saya berubah.
“Jurulatih skuasy saya bukan hanya berkebolehan dalam skuasy sebaliknya membantu saya dari segi mental dan dia berjaya mengubah perspektif pandangan saya terhadap sesuatu keputusan perlawanan.
“Saya rasa, di peringkat tertinggi sebegini, walau berapa sahaja peluang yang ada untuk membantu meningkatkan prestasi, kita akan usahakannya,” kata Eain Yow, sambil mengulas mengenai Program Fast Track Road to Gold (RTG) yang turut menawarkan khidmat sokongan jurulatih peribadi dan jurulatih psikologi, yang dianggap amat memanfaatkan prestasi atlet.
Dia yang kini berada di ranking ke-13 dunia berkata, di peringkat Jelajah Dunia, barisan pemain dalam kelompok Top 15 mahupun Top 10 dunia, semua atlet yang berjaya berkerja keras namun dengan sedikit pendekatan berbeza mampu menonjolkan diri seseorang atlet itu berbanding pesaingnya.
“Saya berpendapat, selain England, Malaysia adalah negara yang ke depan menggunakan jurulatih mental atau psikologi untuk membantu atlet mencapai prestasi yang baik.
“Saya teringat kepada prestasi hambar saya sebelum ini berubah sebaik saya duduk bersama jurulatih saya, kami tidak berbincang apa-apa mengenai skuasy.
“Jurulatih saya bertindak sebagai jurulatih mental tahu saya memiliki kemampuan dari segi teknik dan kemahiran skuasy namun jika permainan mental saya berada pada kedudukan sepatutnya, saya boleh menjadi juara, hingga memenangi Terbuka Jerman, naib juara PSA Tour di Qatar dan suku akhir Terbuka British.”
Untuk rekod, Eain Yow, Sivasangari, Aifa dan Aira Azman berada dalam Program Fast Track RTG bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.