FIRASAT mengatakan bahawa Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam mampu mencipta sesuatu di Sukan Asia ke-19, di Hangzhou cukup kuat sehingga jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Liang, berkeras menamakan gimnas terbabit ke temasya sukan sebenua, berbanding Kejohanan Dunia di Antwerp, Belgium.

Meskipun Sharul Aimy layak ke kejohanan dunia, hati Shu Liang tetap berkeras berasakan kem gimnastik negara mampu menyumbang pingat melalui atlet dari Terengganu itu.

Justeru, melihat kejayaan Sharul Aimy, membuatkannya sebak.

“Sebaik dia menyempurnakan lompatan pertama, saya sudah dapat rasakan sesuatu.

“Saya memang ada tujuan bila bawa dia ke sini dan bukan ke Kejohanan Dunia sebab saya rasa dia boleh buat sejarah dalam sukan ini.

“Saya berbangga dengan apa yang dia lakukan. Dia seorang atlet yang sangat konsisten,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Pingat gangsa Sharul Aimy kembalikan maruah gimnastik artistik negara

Pendaratan sempurna pada kedua-dua lompatan, yang menggunakan darjah kesukaran 5.2 itu membolehkan Sharul Aimy merangkul gangsa selepas mengumpul purata markah 14.466 mata dalam acara melombol.

Lebih membanggakan apabila dia berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Korea, Shin Jea-hwan yang menamatkan cabaran di kedudukan keempat.

Kali terakhir skuad gimnastik negara merangkul pingat adalah menerusi Shu Wai yang meraih perak ketika temasya Sukan Asia Doha 2006 dalam acara yang sama.