SELEPAS tidak tersenarai ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran (BAMTC) di Dubai minggu lalu, perseorangan lelaki utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Tze Yong dikhabarkan tidak sihat sudah hampir sebulan.

Selepas mengalami batuk berpanjangan, jurulatih Hendrawan merehatkan pemain di ranking ke-28 dunia itu daripada menjalani latihan.

“Saya telah beri beliau rehat selama beberapa hari,” kata Hendrawan, ringkas kepada pemberita sebelum meninggalkan gelanggang latihan hari ini.

Jurulatih perseorangan, Hendrawan mengesahkan Ng Tze Yong direhatkan daripada jalani latihan selepas alami batuk berpanjangan hampir sebulan.

Begitupun, Tze Yong dijangka mengambil bahagian pada kejohanan All England 2023 di Birmingham, 14 hingga 19 Mac ini.

Kali terakhir pemenang pingat perak Sukan Komanwel itu beraksi, di Masters Thailand 2023 yang menyaksikannya tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, 14-21, 20-22.

Pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 September lalu, Tze Yong yang muncul juara pernah menyatakan dia tidak sihat kerana mengalami batuk berpanjangan hampir sebulan.

Ng Tze Yong pernah alami batuk selama hampir sebulan ketika menjuarai Sukma 20, September tahun lalu.

Pada kejohanan pertama tahun ini, Tze Yong beraksi buat kali pertama di kejohanan berstatus Super 1,000 Terbuka Malaysia dan melangkah ke pusingan kedua sebelum tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka India (Super 750).

Pada Indonesia Masters (Super 500), pemain berusia 23 tahun itu tersingkir di pusingan kedua, sebelum melangkah ke suku akhir Thailand Masters (Super 300).