KECEDERAAN tulang belakang Ng Tze Yong boleh dianggap luar biasa.
Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata, situasi luar biasa itu memaksa pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu, menjalani pembedahan kedua, baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian menimpa pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu adalah sesuatu yang jarang berlaku terutamanya ketika pasca pembedahan pertama yang dijalaninya pada Februari lalu.
“Selepas pembedahan pertama, kita tengok pada awalnya ada perkembangan yang positif.
“Namun, selepas itu dia ada mengadu rasa tidak selesa di bahagian belakang, apabila kita lakukan ujian MRI (pengimejan resonan magnetik) kita dapati ada ketulan air di bahagian belakang.
“Ini adalah satu perkara yang sangat jarang berlaku. Mengikut kajian, hanya satu kes berlaku dalam 2,000 pembedahan yang dibuat dan ia terjadi kepada Tze Yong pula. Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kita,” katanya.
Jelas Dr Jasmiza, susulan simptom yang dialami Tze Yong itu, pemain berkenaan dinasihatkan menjalani pembedahan kedua bagi mempercepatkan proses pemulihannya.
“Sepatutnya tidak perlu pembedahan pun kerana ketulan itu boleh kecut dengan sendiri. Namun, disebabkan dia atlet, kita tidak mahu tunggu lama dan kita nak percepatkan proses pemulihan itu,” katanya.
Beliau, berkata Tze Yong dijangka akan kembali menyertai kejohanan seawal Ogos depan.
“Selepas pembedahan kedua, kita nampak ada perkembangan yang positif dalam proses pemulihannya. Namun, kali ini kita tidak mahu terlalu terburu-buru. Kita jangkakan dia akan kembali pulih dalam tempoh tiga bulan.
“Ketika ini dia sedang mengikuti program pemulihan di ISN untuk mendapatkan semula kekuatan asasnya.
“Apabila dia dapat kekuatan asas itu semula, baru dia akan kembali berlatih di gelanggang dan seterusnya kita jangkakan dia boleh kembali menyertai kejohanan seawal Ogos depan,” katanya.
Sebagai rekod, Tze Yong hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan musim ini iaitu Terbuka Malaysia pada Januari yang menyaksikan dia mula mengalami kecederaan belakang itu dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada Februari.
Kecederaan yang menimpa naib juara Terbuka Artik 2023 menyaksikan dia terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun suatu ketika berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke temasya terbesar dunia itu.