PENGALAMAN menjalani latihan singkat bersama Datuk Lee Chong Wei cukup untuk membakar semangat perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menjelang cabaran pusingan pertama Terbuka Malaysia, esok.
Tze Yong, 23, akan menentang pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama dalam aksi di Axiata Arena, perlawanan yang akan menjadi petunjuk penting buat barisan kejurulatihan menilai kemajuan regim latihan yang diterapkan terhadap pemain terbabit.
Perlawanan itu juga dianggap pentas terbaik buat Tze Yong untuk melunaskan dendamnya ke atas lawan berkenaan selepas tewas ketika saingan Terbuka Jepun pada Julai tahun lalu.
Tze Yong menghuni ranking ke-15 sebelum ini menjalani latihan bersama Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam persiapannya menghadapi saingan Terbuka Malaysia.
“Saya beberapa kali dapat berlatih dengan Datuk. Sepanjang sesi itu dia juga ada berkongsi pengalamannya dan memberi nasihat yang baik kepada saya yang boleh digunakan untuk menghadapi kejohanan kali ini,” kata Tze Yong.
Tze Yong, berkata dia berharap dapat menampilkan persembahan terbaiknya pada saingan kali ini sekali gus memperbaiki pencapaian edisi tahun lalu yang menyaksikan dia tewas di pusingan kedua selepas tewas kepada seorang lagi wakil Jepun, Kodai Naraoka.
Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata analisis video akan dilakukan dalam mempersiapkan Tze Yong bagi menghadapi Watanabe selepas menewaskan anak didiknya dalam satu-satunya pertemuan antara mereka sebelum ini.
“Ketika itu, Tze Yong tidak dapat mempamerkan permainan sebenarnya. Jadi, kita akan lihat semula rakaman video dan tengok apa kelemahan dalam perlawanan itu sama ada dari segi taktikal ataupun strategi,” katanya.
Kekuatan, eksplosif Tze Yong bertambah baik, impulsif dan anaerobik perlu dipertingkatkan
Hendrawan juga berharap akan ada peningkatan dipamerkan Tze Yong dari segi kekuatan fizikal dan tahap kecergasannya selepas berlatih di bawah bimbingan jurulatih fizikal berpengalaman, Mohd Roesdi Abd Ghani sejak Ogos tahun lalu.
Roesdi adalah watak penting yang pernah diberi tanggungjawab membentuk fizikal Datuk Lee Chong Wei sejak 2008 hingga 2018.
Malah Roesdi memberitahu, prestasi Tze Yong di Terbuka Malaysia juga bakal menentukan regim latihan fizikal yang akan ditempuh pemain itu selepas ini.