SELEPAS hampir 20 bulan hilang dari kejohanan kompetitif, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, mengakui gementar untuk kembali ke gelanggang pertandingan.

Dia yang bakal membuat penampilan semula di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, bulan depan, bagaimanapun mengakui teruja untuk merasai semula suasana pertandingan dan berharap dapat menyesuaikan diri dengan rentak perlawanan secepat mungkin.

Menurut Tze Yong, keutamaannya ketika ini adalah memastikan dirinya bebas daripada kecederaan dan mampu memberikan aksi terbaik berdasarkan keadaan semasa.

“Yang paling penting, saya tidak mahu mengalami kecederaan lagi. Saya hanya mahu mengeluarkan apa yang saya ada sekarang,” katanya.
Pemain kelahiran Johor itu menyedari, dirinya memerlukan masa untuk mendapatkan kembali sentuhan permainan di kejohanan besar selepas berehat panjang.

Namun, dia tidak meletakkan sasaran tinggi pada perlawanan pertamanya di Nongbo, China, dan lebih fokus untuk mendapatkan kembali ‘feeling’ bertanding.

“Kalau tanya tentang sasaran atau jangkaan, saya sendiri pun tidak pasti lagi kerana masih awal. Saya hanya mahu kembali ke gelanggang dan merasai semula suasana pertandingan,” tambahnya.

Tze Yong kini sedang menjalani latihan intensif di bawah bimbingan jurulatihnya, Kenneth Jonassen. Meskipun latihan berjalan lancar, Tze Yong mengakui masih dalam proses membina semula keyakinan dan kesediaan untuk bersaing di pentas tertinggi.

“Latihan memang sukar, tetapi saya rasa lebih baik bertanya kepada jurulatih mengenai perkembangan saya. Saya sendiri masih merasakan tahap permainan saya belum cukup kuat,” katanya lagi.

Selepas kejohanan pertamanya nanti, Tze Yong akan terus menyertai beberapa lagi kejohanan yang telah dirancang, bergantung kepada keadaan kecergasannya.

“Buat masa ini, saya perlu berbincang dengan jurulatih mengenai jadual kejohanan seterusnya. Saya akan terus bermain selagi tidak mengalami kecederaan atau masalah lain,” jelasnya.

Walaupun mengakui ada perasaan takut selepas berehat lama, Tze Yong tetap optimis dan berharap penyokong memahami situasinya yang masih dalam fasa menyesuaikan diri semula di peringkat kompetitif.

Pada Januari tahun lalu, Tze Yong mengalami kecederaan koyak otot belakang yang memaksanya menarik diri daripada perlawanan
menentang Koki Watanabe dari Jepun, pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Sebulan selepas itu, dia mengalami kecederaan tulang belakang yang berbeza, ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaporkan bahawa kecederaan kali ini melibatkan tulang belakang dan cakera.

Justeru, Tze Yong menerima suntikan serta menjalani pemantauan rapi oleh Institut Sukan Negara (ISN). Selepas itu, Tze Yong terpaksa menarik diri dari kejohanan dan tidak bertanding sehingga sekarang.