NG Tze Yong belum cukup pengalaman untuk mengekang tekanan dan rasa gementar di saat genting, sehingga memusnahkan harapannya melangkah ke suku akhir Terbuka China.
Pemain perseorangan lelaki negara itu sudah mendahului pada set penentuan dan berada di mata akhir dengan kelebihan empat mata, namun terpaksa akur kepada rasa gementar sehingga kandas di pusingan kedua.
Ketika turun menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito di pusingan kedua, Tze Yong menang set pertama 21-18 sebelum tewas 11-21 di set kedua.
Aksi set ketiga perlawanan menyaksikan dia berjaya mendahului lawannya 20-16 tetapi disebabkan perasaan gementar dialaminya, dia gagal bertahan sekali gus terpaksa akur tewas 20-22.
Pemain ranking ke-22 dunia itu mengakui kekalahan berkenaan menjadi pengajaran berguna buat dirinya dan akan melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah dihadapinya.
“Saya fikir saya belum boleh untuk mengatasi masalah ini apabila mendahului perlawanan. Ini sesuatu yang saya perlu atasi.
“Mungkin saya sangat gementar dan terlalu mahukan kemenangan. Apa pun, ia menjadi pengalaman dan pengajaran berguna,” kata Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Kekalahan Tze Yong menyaksikan berakhirnya perjuangan wakil negara dalam acara perseorangan lelaki selepas pemain profesional, Lee Zii Jia terkandas di pusingan pertama semalam.
Zii Jia terpaksa akur tewas di tangan naib juara dunia dari Jepun, Kodai Naraoka 24-26, 21-12, 11-21.
Kedua-dua pemain perseorangan lelaki negara itu selepas ini akan mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Hong Kong yang akan berlangsung dari 12 hingga 17 September ini.
Tze Yong akan membuka tirai kempen di Hong Kong menentang jaguh Taiwan, Chou Tien Chen manakala Zii Jia dijadual bertemu pemain China, Zhao Jun Peng.