TIBA masanya tumpuan dialihkan ke Sukan Asia Hangzhou dan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mahu segera melupakan kekecewaan terkandas di separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Semalam, Tze Yong terpaksa akur dalam pertarungan tiga set di tangan pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Jonatan Christie sekali gus menghentikan langkahnya bagi mara ke final pertamanya dalam saingan Jelahah Dunia BWF.

Pemain ranking ke-20 dunia itu berkata, dia mendapat pengajaran berguna dalam perlawanan itu dan akan cuba untuk mengatasi kelemahan yang ada sebelum memulakan cabaran di Hangzhou.

Ng Tze Yong perlu lebih pantas.

“Saya sudah berikan yang terbaik. Kekalahan itu menunjukkan masih banyak perkara yang perlu ditingkatkan.

“Ketika set penentuan, tahap kepantasan saya masih tidak cukup dan saya fikir ia adalah faktor utama saya tewas.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perkembangan prestasi saya. Kini saya akan fokus untuk menghadapi Sukan Asia dan akan cuba untuk menampilkan prestasi terbaik,” kata Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Di Hangzhou, Tze Yong akan menggalas cabaran skuad badminton negara dalam acara berpasukan bersama Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Cheam June Wei.

Berdasarkan prestasi semasa, dia juga dijangka disenaraikan untuk beraksi dalam saingan individu.

Tze Yong akan menyertai kem latihan pusat skuad negara selama lima hari bermula esok sebelum berlepas ke Hangzhou.