NG Tze Yong mula menjalani latihan di gelanggang bersama kem kebangsaan, selepas mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024, dua minggu lalu.

Pemain ranking ke-14 dunia itu mula menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Tey Seu Bock di Akademi Badminton Malaysia (ABM) namun pergerakaannya dibatasi mengikuti had proses pemulihan.

Tze Yong berkata, dia sudah mula menyertai kembali kem latihan pada minggu lalu selain mengakui rasa sakitnya kini sudah semakin baik.

Jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock mahu Ng Tze Yong sihat sepenuhnya.

“Saya tak berlatih secara penuh lagi. Jadi belum merasainya lagi dan tak tahu sama ada sembuh sepenuhnya ataupun tidak. Minggu lalu, saya hanya menjalani latihan skil yang ringan sahaja dan sejak semalam, ada sedikit perbezaan.

“Tadi ketika berlatih, saya tak rasa sakit kerana mengikuti program latihan yang ditetapkan,” kata Tze Yong yang berkemungkinan akan kembali beraksi di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini.

Ng Tze Yong ketika menahan kesakitan, meminta kebenaran mendapatkan rawatan pada Terbuka Malaysia.

Sementara itu, Seu Bock berkata, proses pemulihan Tze Yong memerlukan tempoh dua sehingga tiga minggu untuk pulih sepenuhnya dan BATC adalah pentas pertama untuk pemain berkenaan kembali beraksi selepas terlepas saingan di Masters Indonesia dan Masters Thailand.

“Dia masih dalam proses pemulihan dan itu fokus kita. Di setiap pagi, dia datang untuk buat pemulihan dan selepas itu berlatih tetapi pergerakannya dihadkan, tak boleh secara penuh. Kita kena mengikuti proses pemulihannya.

“Dia memerlukan tempoh dua ke tiga minggu. Sakitnya sudah berkurang tetapi kita tak mahu buat sesuatu sehingga sakitnya kembali. Sekarang ini, belum pulih sepenuhnya dan kalau dipaksa, ia bukan sesuatu yang bagus,” kata Seu Bock ketika ditemui.