KETIADAAN pukulan mematikan, menyebabkan Ng Tze Yong belum cukup kompetitif untuk bersaing dengan pemain berkelas dunia.
Bekas jaguh badminton negara, Ong Ewe Hock berkata, berdasarkan pemerhatiannya terhadap prestasi Tze Yong ketika bertemu pemain kelompok teratas dunia, pemain nombor dua negara itu sukar untuk memenangi perlawanan meskipun menguasai permainan.
Katanya, Tze Yong yang berada di ranking ke-28 dunia lebih banyak bermain rali dan amat jarang menyerang kelemahan lawan.
“Kita lihat pemain utama dunia seperti Viktor Axelsen (Denmark), mereka kalau ada peluang pasti akan melakukan serangan dan mematikan bola (bulu tangkis).
“Ini yang saya belum nampak dalam permainan Tze Yong. Namun, kita perlu beri dia masa juga kerana baru satu atau dua tahun ini dia naik dan saya harap dia akan meningkatkan lagi permainan menyerangnya,” kata Ewe Hock.
Ewe Hock yang juga anggota Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagaimanapun gembira dengan perkembangan ditunjukkan Tze Yong, sehingga lolos ke dalam kelompok 30 teratas dunia.
Beliau menjelaskan, Tze Yong perlu sedar bahawa dia perlu berkerja lebih keras untuk berada setaraf pemain seperti Axelsen:
“Apabila Lee Zii Jia keluar (BAM), dia pikul tanggungjawab dan jurulatih juga kini lebih fokus kepada dirinya. Saya pasti dia sendiri tahu apa yang dia mahukan dan yang paling penting dia perlu sentiasa dahagakan kemenangan.”
Pencapaian terbaik Tze Yong musim ini adalah mara ke suku akhir Masters Thailand, awal bulan lalu manakala tiga kejohanan sebelum itu – Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia dia terkandas di pusingan pertama dan kedua.
Tze Yong memenangi pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 kini dalam persiapan bagi menghadapi saingan Seluruh England dari 14 hingga 19 Mac ini, selain turut dijadual beraksi di Terbuka Switzerland dari 21 hingga 26 Mac.
Undian di Seluruh England menemukannya dengan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada pusingan pertama, manakala Terbuka Switzerland, dia mendapat bye di pusingan pertama.