SATU hari setengah yang cukup bermakna, dan Ng Tze Yong tidak memerlukan cuti panjang untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Sejurus selepas tamat latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini, Tze Yong terus bertolak pulang ke rumah keluarganya di Johor Bahru.

“Selepas latihan saya balik, cukuplah sehari setengah cuti.

“Sekurang-kurangnya dapat balik rumah sekejap pun OK lah… beberapa tahun ini tak dapat balik, tahun lalu juga, sebelum tu MCO,” kata Tze Yong.

Ng Tze Yong segera pulang ke Johor Bahru selepas tamat latihan.

Perkara paling dinantikan pemain berusia 24 tahun itu, tentunya makanan tradisi makan besar keluarganya.

“Saya jarang makan masakan Cina… tapi nenek selalu masak sup, saya suka makan sup nenek,” kata Tze Yong, menceritakan tradisi makan besar keluarganya.

Dia akan kembali menyambung latihan pada Ahad berkata, sambutan tahun naga kali ini amat bermakna terutamanya bagi dirinya yang lahir pada tahun yang sama.

Ng Tze Yong kembali jalani latihan Ahad ini, sebagai persiapan ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

“Saya lahir pada tahun naga, entahlah ia membawa tuah atau tidak, tapi saya harap kecederaan ini cepat pulih,” katanya.

Tze Yong mengalami kecederaan otot tulang belakang, ketika mengharungi cabaran pusingan pertama Terbuka Malaysia, terlepas sekurang-kurangnya tiga kejohanan besar dalam misi memungut mata kelayakan Olimpik Paris.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam 13 hingga 18 Februari ini, bakal menjadi kejohanan pertama yang akan menilai sejauhmana tahap pemulihannya.