SKUAD terjun berhasrat seorang lagi atletnya tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) namun mereka perlu melayakkan diri ke Temasya Olimpik Paris 2024 terlebih dahulu.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia, Mae Chan berkata, antara atlet yang berpotensi untuk disenaraikan ke dalam program tersebut adalah Ng Yan Yee.
Namun, berdasarkan kriteria yang ditetapkan jawatankuasa RTG, Yan Yee belum layak untuk berada dalam program terbabit, sekali gus meletakkan penerjun berusia 29 tahun dalam posisi membuktikan kredibilitinya terlebih dahulu, terutamanya di Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, Jepun, 14 hingga 30 Julai depan, sekali gus dengan cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.
Untuk berbuat demikian, Wendy perlu menempatkan diri sebagai 12 penerjun terbaik bagi acara individu, sementara dalam acara seirama, dia dan pasangan perlu berada sebagai tiga terbaik untuk meraih tiket automatik ke Paris.
“Kebarangkalian tinggi adalah Yan Yee dalam acara tiga meter papan anjal seirama, untuk atlet lelaki, sedikit sukar kerana perlu menunggu generasi yang seterusnya.
“Generasi penerjun lelaki ketika ini terutamanya yang terbaik kita ada adalah menerusi Ooi Tze Liang mungkin atau tidak layak ke Sukan Olimpik Paris kerana darjah kesukaran untuk acara lelaki terlalu tinggi.
“Benar, akan ada Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, dan kemudian Kejohanan Piala Dunia pada tahun depan, dan dalam masa yang sama kita sedang cuba untuk memohon kepada Persekutuan Renang Asia untuk membida hak penganjuran Kejohanan Terjun Asia yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris,” kata Mae Chan yang ditemui di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil .
Malaysia bakal mempertaruhkan sebanyak 12 penerjun ke Fukuoka, Jepun dengan harapan untuk cuba meraih slot ke Paris seawal mungkin.
Ketika ini, hanya Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri tersenarai antara 15 atlet lain dalam program RTG, projek yang digarap untuk meraih emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris.