LEGENDA skuasy negara, Datuk Nicol Ann David memasang impian untuk melihat akan ada seorang atlet Malaysia yang berjaya memenangi anugerah di Anugerah Sukan Dunia Laureus suatu masa nanti.

Mengambil inspirasi daripada kisah kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh yang berjaya menggondol Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi, Nicol berpendapat tidak ada jalan pintas buat atlet untuk berjaya tetapi apa yang penting adalah sokongan yang diberikan kepada mereka untuk menempa kejayaan.

Beliau yang ditemui ketika majlis pelancaran dokumentari bersiti ‘Little Legends’ di sebuah pawagam di ibu negara turut merasakan sudah sampai masa buatnya untuk memberikan semula kepada negara dengan mencari bakat-bakat baharu dalam sukan skuasy.

“Saya berharap perkara ini mampu menjadi kenyataan suatu hari nanti. Ianya satu impian untuk semua atlet untuk memenangi anugerah tertinggi sukan ini. Tetapi apa yang penting adalah sokongan yang perlu diberikan kepada semua atlet dan bukannya kritikan dan suasana negatif. Mereka perlu berkerja keras dan tidak ada jalan pintas untuk berjaya.

“Saya pernah dicalonkan dalam anugerah ini pada 2014, dan saya menganggapnya sebagai antara detik terbaik dalam karier saya tetapi saya tidak layak ke pencalonan terakhir. Ianya bergantung kepada sukan yang diceburi dan berharap akan ada ahli sukan Malaysia yang mengikut jejak langkah Tan Sri Michelle Yeoh.

“Objektif utama saya adalah melahirkan lebih banyak kanak-kanak yang cemerlang dan positif bukan sahaja dalam sukan tetapi dalam segala bidang yang mereka ceburi. Dalam proses ini jika kami berjaya mencipta legenda ianya adalah perkara yang baik,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.

Mariana de Reyes dan Datuk Nicol David

Nicol menerusi Nicol David Organization (NDO) yang diasaskan bersama Mariana de Reyes mempunyai misi untuk memperkasakan kanak-kanak menerusi sukan dan program pendidikan yang dinamakan ‘Little Legends’.

NDO yang ditubuhkan di Kuala Lumpur ini memberikan program selepas sekolah yang meliputi latihan skuasy dan juga kelas Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak dari kumpulan keluarga berpendapat rendah dan pertengahan hasil kerjasama dengan empat sekolah di sekitar Bukit Jalil dan Sri Petaling.

Majlis pelancaran ‘docuseries’ ini turut dihadiri Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh yang menganggap komitmen Nicol bukan sahaja untuk mencapai kehebatan sebagai pemain skuasy tetapi juga dalam membangunkan akar umbi menerusi organisasinya dalam menghasilkan pemain skuasy masa depan buat Malaysia.