TIMBALAN Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024, Datuk Nicol Ann David, meluahkan rasa bangganya terhadap prestasi cemerlang pemain golf muda negara, Ashley Lau, di temasya sukan tersebut.
Dalam satu kenyataan di laman sosialnya, Nicol berkata, ia sentiasa mengujakan apabila melihat bakat muda yang mempunyai minat dan semangat yang tinggi dalam sukan, dan Ashley Lau memiliki semua itu.
“Dia mempunyai kesedaran untuk kekal tenang di padang golf di antara pemain-pemain terbaik di dunia, sambil tetap berpijak di bumi nyata dengan sokongan daripada pasukan, keluarga, dan rakan-rakannya,” ujarnya.
Nicol turut memuji kekuatan mental Ashley yang tidak berputus asa meskipun berdepan cabaran yang hebat dalam penampilan pertamanya di Olimpik.
“Ashley, mungkin ini adalah Olimpik pertama kamu, dan kamu terpaksa mengatasi segala cabaran yang melanda selama empat hari terakhir, namun kamu tidak berputus asa. Ini menggambarkan banyak tentang keperibadian kamu, dan masih banyak yang boleh diharapkan kerana kamu mempunyai potensi untuk membawa Malaysia ke tahap seterusnya,” katanya lagi.
Beliau juga menzahirkan rasa bangganya sebagai seorang rakyat Malaysia yang menyaksikan persembahan cemerlang Ashley di gelanggang antarabangsa.
“Ia adalah satu detik yang membanggakan sebagai rakyat Malaysia menyaksikan kamu beraksi di luar sana bersama dengan sistem sokongan kamu. Mereka begitu bangga dengan kamu, dan kami rakyat Malaysia juga begitu. Terima kasih kerana memberikan segala-galanya, dan saya tidak sabar untuk melihat lebih banyak perkara yang menarik akan datang buat kamu,” katanya.
Ucapan Nicol itu jelas menunjukkan keyakinannya terhadap masa depan cerah Ashley dalam sukan golf, dan harapan besar buat atlet muda itu untuk terus mengharumkan nama negara di pentas dunia.