LEGENDA skuasy negara, Datuk Nicol David teruja dengan peranan diberikan kepadanya oleh Jawatankuasa Road to Gold (RTG), untuk merencana keperluan sukan skuasy sebagai persediaan ke Olimpik Los Angeles 2028.

Mengakui sentiasa menanti masa untuk skuasy dimasukkan ke dalam program Olimpik, peranan yang diberi RTG sebagaimana diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, disambut baik.

“Inilah yang saya nak berikan tumpuan pada masa ini. Apapun, saya tidak kecewa kerana tidak berkesempatan beraksi di Olimpik, hanya ingin memberikan semangat kepada atlet negara di Paris dan juga di Los Angeles 2028,” kata Nicol.

Datuk Nicol David (kanan) diberi tanggungjawab merangka pelan strategik persediaan skuasy ke Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Selasa, mesyuarat Jawatankuasa RTG meminta Nicol mengusahakan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan, bagi membangunkan pelan strategik dan kolektif untuk memasukkan skuasy dalam fokus program RTG pada Los Angeles 2028.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan bahawa atlet skuasy tidak dimasukkan ke dalam RTG buat masa sekarang dan jawatankuasa itu mahu meneliti terlebih dahulu, pelan strategik yang akan disediakan Nicol, nanti.

Bulan lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memberikan kelulusan untuk skuasy dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 bersama empat lagi sukan baharu.

Sejak bergelar pemain lagi, Datuk Nicol David giat mempromosi sukan skuasy untuk dimasukkan ke dalam program Sukan Olimpik.

Skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol dicadangkan oleh penganjur LA 2028 untuk disenaraikan di temasya itu dan kesemuanya mendapat kelulusan daripada IOC dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Mumbai, India.

Di Los Angeles nanti, skuasy dijadual menawarkan dua pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita.

Sementara itu, Nicol menyifatkan perjuangannya sejak sekian lama bagi memastikan sukan berkenaan di masukkan ke dalam program Sukan Olimpik, akhirnya tercapai.

Nicol, 40, yang bersara pada 2019 berkata, beliau sama sekali tidak kecewa sebaliknya akan sentiasa menghulurkan sokongan dan pengalaman dimilikinya dalam usaha memantapkan generasi muda menjelang temasya di Amerika Syarikat nanti.

“Saya tak ada rasa kecewa kerana saya sudah lakukan di sepanjang 20 tahun karier saya. Sekarang ini generasi yang baharu dan saya boleh menyumbang apa yang saya miliki kepada generasi ini, demi skuasy Malaysia.

“Kita mempunyai bakat yang mempunyai potensi besar untuk dapatkan pingat di Los Angeles 2028,” kata Nicol yang juga ahli jawatankuasa RTG, dan juga timbalan ketua kontinjen negara ke Paris 2024.