PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil berpuas hati akan prestasi anak buahnya yang menumpaskan Penang FC pada Sabtu, sekali gus tidak menepikan harapan untuk membawa pasukannya ke satu tahap terbaik seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Perkara itu dikongsi oleh ketua jurulatih Gergasi Merah sejurus selepas aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium MBPJ, memperlihatkan kekuatan pasukan The Red Giants itu menepis keegoan Harimau Kumbang.

Nidzam menganggap keputusan 4-1 di laman sendiri adalah sebagai kemenangan yang melegakan dan menggembirakan meskipun berdepan cabaran sukar oleh anak-anak buah Akmal Rizal Rakhli.

”Sudah pasti kita gembira dengan tiga mata pada hari ini, tetapi dalam bola sepak ini, kalau tidak bolos itu lebih menggembirakan. Semua mahukan perkara sedemikian dan kita akan memperbaiki segala kekurangan.

Nidzam Jamil ketika ditemui selepas tamat perlawanan pada Sabtu.

“Oleh itu saya rasa kita ada peluang untuk tambahbaik prestasi pasukan. Sudah tentu kita nak ada di tempat ‘Elite’ seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah tentu kita idamkan perkara itu. Itu cita-cita kita.

“Jadi persepsi dalam bola sepak ini macam-macam, tapi saya tidak mahu dikurung dengan persepsi seperti ini kerana saya mahu kejar keputusan pada akhirnya,” katanya kepada media pada Sabtu.

Kemenangan keempat Liga Super yang dirangkul Selangor FC telah meletakkan pasukan berkenaan di tangga kedua Liga Super dengan kutipan 12 mata selepas mengharungi keseluruhan enam perlawanan.

Aksi seterusnya bakal menyaksikan skuad Gergasi Merah itu melakukan perhitungan sengit dengan Sri Pahang FC di gelanggang lawan sekali gus menjadi satu cabaran untuk Nidzam Jamil menamatkan badi kekalahan di perlawanan ‘away‘.