KETUA jurulatih baru Selangor FC, Nidzam Jamil, mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan kelab kerana memberikan kebebasan penuh kepadanya untuk memilih calon pembantu jurulatihnya.

Dia juga menjelaskan kriteria yang diperlukan oleh kelab untuk membawa misi Selangor bersaing di Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC bagi musim 2024-25 yang akan bermula pada bulan Mei akan datang.

“Saya diberikan kuasa penuh untuk memilih dan buat keputusan siapa bakal pembantu jurulatih dan kita ada kenal pasti beberapa calon dan kita sedang teliti seorang jurulatih luar dan seorang jurulatih tempatan.

Nidzam mengendalikan latihan pasukan Selangor

Kedua-dua jurulatih ini perlulah seorang yang berilmu serta yang faham cita-cita dan harapan kelab Selangor serta mempunyai pengalaman di peringkat Asia,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Iftar For All 2024 anjuran Selangor FC di Shah Alam pada Isnin.

Nidzam yang sudah memulakan sesi latihan turut menyatakan ketiadaan beberapa pemain utama yang dipanggil ke kem kebangsaan tidak menjejaskan pola latihan dan dia melihat perkara ini dari sudut yang positif.

“Ketiadaan pemain yang mewakili skuad kebangsaan sebenarnya memberi kesan positif terutama kepada pemain muda Selangor yang dibawa naik kerana mereka dapat mempelajari sesuatu daripada pemain-pemain senior.

Nidzam diberikan kebebasan untuk memilih pembantu jurulatihnya

“Ramai pemain kami dipanggil ke skuad kebangsaan masing-masing dan pada saya ini tidak menjadi masalah buat kami dan setakat ini saya berpuas hati dengan pasukan sedia ada ketika ini,” ujarnya.