SELANGOR FC hari ini mengumumkan pelantikan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih baharu Gergasi Merah untuk musim 2024/2025 akan datang.
Pihak pengurusan Selangor FC itu mengumumkan pelantikan itu menerusi laman web kelab tersebut, sekali gus menamatkan spekulasi berkait siapa yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ketua Jurulatih sebelum ini, Tan Cheng Hoe.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya telah membuat penilaian yang terperinci dan kolektif, dan berdasarkan keupayaan yang ditunjukkan Nidzam kepada kami semasa beliau berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih untuk musim-musim sebelumnya.
“Nidzam mempunyai pengalaman yang luas dalam persada bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta sangat mengenali pemain SFC.
“Bagi kami, beliau adalah orang yang tepat untuk mengisi jawatan ini dan mampu memimpin kami untuk mengharungi cabaran yang bakal dihadapi oleh SFC untuk musim 2024- 2025, ” ujarnya.
Dilahirkan dan dibesarkan di pekan Kajang, Nidzam Jamil merupakan bekas pemain Selangor dari 2000 hingga 2004.
Antara pencapaian cemerlangnya sebagai pemain Red Giants ialah memenangi Piala FA pada 2001, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada 2002.
Selain itu beliau juga mempunyai rekod yang baik sebagai Ketua Jurulatih sejak 2010 bersama SPA FC dan Felda United FC.
Pada November 2021, Nidzam Jamil dilantik secara rasmi untuk menjadi penolong ketua jurulatih pasukan The Red Giants bagi membantu Michael Feichtenbeiner pada musim 2022.
Pada tahun yang sama, beliau turut dilantik sebagai ketua jurulatih ‘interim‘ untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai penolong ketua jurulatih untuk tahun berikutnya selepas pelantikan Tan Cheng Hoe ketika itu.
Posisi ketua jurulatih yang sebelum ini disandang oleh Tan Cheng Hoe dikosongkan selepas pengunduran mengejut Tan untuk melatih pasukan dari Thailand, Police Tero FC dua minggu lalu.