KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui persiapan secukupnya dan kerja keras dari semua pemain menjadi punca utama kemenangan Gergasi Merah keatas Terengganu FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Nidzam turut menolak faktor tuah sebagai punca utama kemenangan selepas mendapat jaringan seawal minit pertama menerusi penyerang berbisanya, Ronnie Fernandes untuk tiga mata penting di laman lawan.

Kemenangan ini juga dianggap penting buat para pemain kerana berjaya membawa keluar stereotype yang menyatakan Selangor tidak mampu untuk mengutip tiga penuh apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Jaringan Ronnie Fernandes seawal minit pertama beri tiga mata buat Selangor FC

“Jujurnya kita rasa sangat penting kerana kita tidak banyak menang di ‘away‘ dan ianya penting untuk motivasi pemain serta keluar dari idea yang kita tidak gagal mendapatkan mata di tempat lawan dan untuk menang di sini ianya adalah sangat baik kerana satu perlawanan yang terbuka sehingga minit akhir.

“Dalam sukan, nasib ini adalah hasil persiapan dan kerja keras. Kami mempersiapkan pasukan dengan baik untuk perlawanan ini dan pemain bekerja keras untuk mendapat tiga mata dan gol itu sememangnya membantu dari sudut perjalanan taktikal perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menerima hakikat pasukannya gagal menterjemahkan beberapa peluang untuk mencipta jaringan dan terpaksa akur dengan kekalahan kedua musim ini dalam liga.

Pemain Terengganu FC memberikan aksi terbaik selepas mengharungi jadual yang padat

“Pertamanya saya tidak boleh ‘complain‘ banyak kepada pemain kerana mereka telah berikan segalanya selepas bermain perlawanan yang sukar tiga hari lalu dan kesilapan pada minit pertama dihukum.

“Kami bermain kurang baik pada 10 ke 15 minit pertama tetapi selepas itu kembali mencipta cukup peluang untuk jaringkan gol namun tidak berjaya dan kami kecewa dengan keputusan ini,” jelasnya.

Selepas kemenangan ini, Selangor kekal di tangga kedua dengan 25 mata dan ketinggalan enam mata kepada Johor Darul Ta’zim manakala Terengganu pula kekal di tangga ketiga 16 mata tetapi semakin ditekan Perak, Kuching City, Sabah dan PDRM FC.