KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) mengumumkan pelantikan Nik Safuan Ismade Nik Man sebagai Ketua Jurulatih baharu Pasukan Ragbi Lelaki 7 Sebelah Kebangsaan 2023.

Nik Safuan Ismade, 42 tahun adalah merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan dari tahun 2003 – 2011. Dia memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih pasukan lelaki 15s bawah 23 tahun pada tahun 2012 di Kejohanan Causeway Challenge Shield dan penolong jurulatih pasukan 7s lelaki bagi Kejohanan HBSC 7s Series pada 2013 – 2014 .

Nik Safuan kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih lelaki 7s bagi tahun 2015 – 2016 dan telah membimbing pasukan wanita 7s kebangsaan bermula 2016 – 2021.

Sebagai bekas pengendali pasukan kebangsaan, antara kejayaan yang dikecapinya sebagai ketua jurulatih sebelum ini adalah membawa pulang pingat perak Sukan SEA 2015 bersama pasukan lelaki, pingat gangsa Sukan SEA 2017 dan 2019 bagi pasukan wanita serta Kejuaraan Trofi Wanita Asia 2018.

Pemilihan Nik Safuan ini dibuat selepas Mesyuarat Exco KRM bersama bahagian kejurulatihan dan prestasi tinggi kesatuan mengadakan perbincangan serta penilaian menyeluruh dan telah memutuskan Nik Safuan Ismade adalah merupakan calon terbaik untuk mengendalikan pasukan Bunga Raya 7s.

Pemilihan Nik Safuan ini berdasarkan pengalaman luas sebagai jurulatih di peringkat kelab dan kebangsaan serta mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf oleh Badan Induk Ragbi Dunia (World Rugby) dan Majlis Sukan Negara (MSN) antaranya World Rugby Level 2 7s, World Rugby Level 3 15s dan MSN Sports Sciences Level 3.

Nik Safuan akan memulakan khidmat sebagai ketua jurulatih kebangsaan untuk persiapan dan persediaan Bunga Raya 7s menghadapi Temasya Sukan Asia Hangzhou, China 2023 bertempat di Majlis Sukan Negara (MSN).