DIBELENGGU kecederaan buku lali menyaksikan disisihkan bagi tempoh yang panjang dan terpaksa ‘mengasingkan diri’ bukan mudah bagi seseorang pemain bola sepak untuk kembali bangkit mencipta nama.
Namun bagi susuk tubuh yang bernama Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dia berjaya mengatasinya dengan membuat penampilan semula bersama Selangor FC musim lalu selepas dipinjamkan Terengganu FC.
Kini khidmatnya ditagih secara tetap oleh bekas majikannya itu susulan prestasi cemerlang dalam 26 penampilan secara keseluruhan selain turut berjaya meledak tiga jaringan bersama naib juara Piala FA 2022 itu.
Bagimanapun baginya cabaran bersama TFC bukannya mudah apabila bakal bersaing dengan beberapa pemain sedia ada dan baharu yang dibawa masuk ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner.
“Terengganu memang banyak memberi ruang kepada saya untuk lebih menyerlah pada musim lepas dan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai keupayaan saya terutamanya jurulatih, Nafuzi Zain.
“Antara faktor kenapa saya ingin kekal di Terengganu adalah untuk mencari pengalaman beraksi di Piala AFC selain ini juga adalah dorongan daripada keluarga terutamanya ibu saya untuk terus beraksi bersama pasukan ini.
“Sudah tentu ia bukan mudah sebab kita tahu ramai muka baharu yang datang termasuklah jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner dan kita perlu segera menyesuaikan diri dengan taktikal dan latihan selepas ini.
“Misi saya adalah untuk cuba menjaringkan lebih banyak gol selepas ini di mana saya ingin perbaiki pencapaian individu yang mana saya berharap ia juga dapat membantu rakan-rakan lain pada musim ini”, jelasnya.
Bekas pemain Pahang ini juga turut berterima kasih kepada Selangor FC yang telah banyak membantunya sepanjang bersama pasukan itu terutama dari segi aspek pemulihan selepas berdepan kecederaan pada musim 2021.