TANGGAL 30 April depan menyaksikan genaplah 100 hari buat Kim Pan-gon bergelar sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Imbas kembali kemunculan sosok dari Korea Selatan ini, Kim Pan-gon telah diumum sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada 21 Januari lalu sebelum diperkenalkan secara rasmi pada 17 Februari lalu.

Sudah pasti ketibaan Kim Pan-gon yang bakal mencecah usia 53 tahun pada 1 Mei ini dengan menggantikan mantan, Tan Cheng Hoe telah diberikan harapan menggunung khusus penyokong tempatan dalam misi mengubah nasib bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Hampir 100 hari  berkelana di sini,  isterinya Glorio Hong bersama anak lelaki Zion Kim dan anak perempuan Su Kim tiba beberapa hari lalu untuk bercuti dan bertemu Pan-Gon.

Ikuti temubual Flashsukan bersama Kim Pan-gon ketika ditemui dalam satu majlis berbuka puasa eksklusif sambil menjejak pengalamannya ketika mengikuti perkembangan bola sepak negara.

Flashsukan: Apakah perasaan anda setelah berada di Malaysia sepanjang 90 hari sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya?

Kim Pan-gon: Secara peribadi, saya sendiri tak sangka saya semakin hampir 100 hari menjadi sebagai jurulatih Harimau Malaya. Masa berjalan cukup pantas.

Kesimpulan awal adalah buat masa ini saya telah berhubung dengan kesemua jurulatih dalam Liga Malaysia di mana sudah tentu daripada Liga Super dan Liga Premier kerana saya mahu mengambil peluang ini untuk mengenali kesemua barisan dalam peringkat kejurulatihan Liga Malaysia.

Dan saya juga menikmati dengan turun ke setiap stadium bagi menyaksikan beberapa perlawanan dalam tempoh itu.

Flashsukan: Bagaimana anda dapat simpulkan lagi dengan nilai sentimental 100 hari sebagai jurulatih skuad kebangsaan Malaysia?

Kim Pan-gon: Seperti saya katakan tadi, dalam tempoh itu saya sangat sibuk dan sedikit tidak terasa masa itu berjalan.

Mungkin disebabkan saya lebih fokus kepada modul latihan pasukan, persiapan perlawanan dan taktikal, persediaan perlawanan persahabatan dan sebagainya.

Kami perlu bekerja keras kerana saya sedar momentum bola sepak Malaysia ini sedang berevolusi kepada peringkat lain dan saya telah nampak tekanan daripada penyokong-penyokong di mana ia cukup bagus buat pasukan kebangsaan.

Pan-gon bakal menyambut kelahiran yang ke-53 tahun 1 Mei ini. Foto: FAM

Flashsukan: Bagaimanakah anda melihat potensi pemain dan penyokong bola sepak di Malaysia?

Kim Pan-gon: Saya dapat melihat keghairahan pemain ketika beraksi dalam Liga Malaysia dan sudah pasti masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

Secara keseluruhan pemain Malaysia boleh pergi lagi jauh dan sudah pasti saya akan mengambil masa untuk mengelilingi stadium untuk mengenali lagi budaya bola sepak Malaysia.

Ini adalah satu petanda bagus bola sepak Malaysia dan sokongan peminat juga membuatkan saya tidak sabar beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti di depan penyokong bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Flashsukan: bagaimana tekanan atau “demand” daripada FAM terutamanya dari Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sendiri sepanjang tempoh berada di sini?

Kim Pan-gon: Saya sangat bertuah kerana dapat mengenali Presiden FAM yang sangat ghairah dan sepanjang tempoh 24 jam boleh berbincang mengenai bolasepak.

Sejujurnya beliau memberi “demand” tetapi saya mengambil “demand” dan tekanan itu daripada aspek positif di mana saya menyedari Presiden FAM mahukan yang terbaik kepada pasukan dan Presiden FAM mahu Malaysia berubah di pentas Asia. Itulah impian Presiden FAM dan kemahuan beliau itu membuatkan saya lebih teruja untuk kekal fokus kepada projek ini.

Flashsukan: Apakah respons anda mengenai prestasi cemerlang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang berjalan sekarang ini?

Kim Pan-gon: Pemain-pemain JDT sedang beraksi di peringkat yang sangat tertinggi dan kecemerlangan mereka telah memberikan keyakinan lagi kepada saya dalam usaha menambahkan kekuatan pasukan kebangsaan.

Umum mengetahui bahawa ACL bukanlah sebarang kejohanan dan bagus buat saya kerana pemain-pemain JDT ini sedang menimba pengalaman cukup penting sekali gus bakal memberikan manfaat kepada pasukan kebangsaan.

Saya percaya pengalaman bermain di pentas ACL akan memberikan satu lagi suntikan moral kepada pasukan kebangsaan nanti dalam usaha memastikan persiapan pasukan kebangsaan berada lebih bersedia dan tersusun.